Minggu, 09 November 2014

Firman Juara AF 2014

Firman diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2014.  


Trofi sumbangan Astro disampaikan oleh pengetua AF 2014, Datuk Hattan.
 

Peserta berasal dari Sabah, Firman, 25, diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2014.
      


SHAH ALAM: Peserta berasal dari Sabah, Firman, 25, diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000, Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo, percutian ke Osaka Jepun beserta trofi sumbangan Astro yang disampaikan oleh pengetua, Datuk Hattan.

 
Tiga pemenang utama Akademi Fantasia 2014, (dari kiri) Ewal, Firman dan Aman.
 

Pada pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria itu, Firman menyanyikan lagu berjudul Kejoraku Bersatu nyanyian Amy Search dan sebuah lagu baharu, Di Pintumu ciptaan Datuk M.Nasir.

Tempat kedua diungguli peserta daripada Melaka iaitu Aman atau nama sebenarnya Mohd Razman Abdul Aziz, 21, dengan membawa pulang wang tunai RM30,000, Produa Myvi 1.3, percutian ke Osaka Jepun, dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Sementara, tempat ketiga dimenangi oleh Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 22 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, percutian ke Osaka Jepun serta trofi.

Manakala tempat keempat dan kelima dimenangi oleh Nuha dan Adel masing-masing menerima RM15,000 dan RM10,000 berserta percutian ke Osaka Jepun dan trofi.

Sementara itu, Nuha turut dipilih memenangi anugerah khas wang tunai RM10,000 daripada D'Herbs sebagai pelajar paling banyak menunjukkan perubahan sepanjang 10 minggu AF 2014 bersiaran.

Senarai pemenang diumumkan oleh pengacara Zizan Razak, Faizal Ismail dan Jihan Musa.

Selain juri tetap, Ramli MS dan Raja Azura, turut diundang sebagai pengkritik ialah Amy Search.

Selain persembahan para peserta, malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan persembahan Bunkface, Amy Search, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu.

Oleh: KEMALIA OTHMAN

Minggu, 02 November 2014

Wanita Bunuh Diri Kerana Suami Enggan Tonton Filem Shah Rukh Khan

Filem terbaru lakonan aktor Shah Rukh Khan berjudul Happy New Year.



SEORANG wanita di India bertindak meminum cuka sebagai tanda protes terhadap suaminya yang tidak mahu menonton filem lakonan aktor Shah Rukh Khan berjudul Happy New Year.

Wanita yang dikenali sebagai Neha itu tidak dapat diselamatkan doktor apabila keseluruhan organ dalamannya rosak dan terbakar akibat cecair berasid itu.

Seperti dilapor One India News, wanita berusia 21 tahun itu turut membuat sebuah rakaman video yang memberitahu bahawa perkara tersebut adalah kesalahan suaminya, Vishal.

Vishal menolak untuk menonton filem tersebut pada hari pertama tayangan kerana terlalu ramai orang. Namun perkara tersebut telah membuatkan wanita itu terlalu kecewa hingga tekad membunuh diri.

Sementara itu, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak Shah Rukh Khan berhubung kes tersebut.


Impian Rozita Che Wan Untuk Mendapat Cahaya Mata Perempuan Jadi Kenyataan

COMEL..Rozita dan anaknya.


     
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan,41 selamat melahirkan bayi perempuan kira-kira pukul 2.18 petang di Pusat Perubatan Ampang Puteri, dekat sini, pada Sabtu.

Menurut pengurus Rozita, Afiq Wahab, pelakon itu melahirkan bayi seberat 3 kilogram secara normal dan kedua-dua ibu serta bayi itu berada dalam keadaan baik.

"Rozita dimasukkan ke hospital pada pukul 8 pagi tadi (Sabtu), dia tidak mengalami sebarang tanda-tanda untuk bersalin, namun doktor menasihatkan agar masuk pada hari ini juga.


 Zain Saidin sedang mendukung anak sulungnya.


"Saya pun tidak sangka pukul 2.18 petang dia sudah selamat melahirkan bayi perempuan, semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Sabtu.

Afiq berkata, dia sempat bersarapan bersama Rozita sebelum menghantar wanita itu ke pusat perubatan tersebut.

Oleh: KEMALIA OTHMAN