Selasa, 30 September 2014

Aliff Aziz Didenda $2,000 Kerana Mencuri Telefon Bimbit

Aliff Aziz



Penyanyi kelahiran Singapura Aliff Aziz, dikenakan denda $2,000 Jumaat lalu atas kesalahan mencuri telefon bimbit.

Jika gagal membayar denda tersebut, dia boleh dipenjara 20 hari sebagai ganti.

Aliff, 23 atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 23, didakwa mencuri dua telefon bimbit berjenama HTC one dan Samsung Note 1, yang setiap satu bernilai $800.

Telefon itu dimiliki seorang individu bernama Yong Kit Siong.

Aliff dikatakan mencuri telefon bimbit itu bersama seorang lagi lelaki bernama Muhammad Nurazlee Roslee pada atau sekitar 12.01 tengah malam pada 24 Mei lalu di kolong blok Blok 36 Tanglin Halt Road.

Bagi kesalahan mencuri, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Aliff didakwa di mahkamah buat kali pertama pada 16 Ogos lalu.

Satu laporan di laman akhbar Berita Harian Malaysia pada 27 Ogos lalu memetik ibu Aliff, Cik S. Hafiza Basharahil, sebagai berkata bahawa anaknya itu berada di Singapura ketika itu dan keadaannya baik-baik sahaja.

Menurutnya, Aliff berada di sini atas urusan peribadi dan akan pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Sebelum itu, dia dikatakan telah menghilangkan diri daripada lokasi penggambaran sebuah drama dan pulang ke Singapura.

Aliff dan pasangan duetnya, Siti Nordiana, yang menyanyikan lagu Tak Ada Cinta Sepertimu, turut dicalonkan untuk kategori Kolaborasi Terbaik (Artis) bagi Anugerah Planet Muzik (APM) 2014 yang akan berlangsung pada 17 Oktober ini.

Menerusi laman Twitter miliknya di bawah nama @aliffaziz pula, artis muda itu memuat naik status kelmarin dengan berkata:

"Selamat tengah hari dunia. Saya akan kembali tidak lama lagi. Tidak lama lagi."


Kredit Sumber : Berita Harian.Sg

Intan Ladyana Bertegas Enggan Berjumpa Dengan Kamal Adli

      
Kamal Adli akui masih menyayangi Intan Ladyana.
  

PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana menegaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Kamal Adli untuk memberi peluang bagi berbincang mengenai hubungan mereka yang sudah tidak apa-apa kaitan lagi.

Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, sebelum memutuskan untuk berpisah, dia telah pun berbincang tentang perkara itu dan sudah menjelaskan sebab-sebab mengapa hubungan berkenaan perlu diputuskan.

"Saya rasa, tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana ia sudah dibuat sebelum kami putus.

"Nak ikutkan... saya dah malas nak cakap tentang perkara ini kerana ia sudah pun selesai," katanya kepada mStar Online.

Dalam program Melodi (siaran TV3) Ahad lalu, Kamal meluahkan rasa kesal apabila hubungannya dengan Intan terputus begitu sahaja dan berharap agar dapat kembali menjalinkan hubungan semula dengan aktres itu.


Kamal dan Intan akhirnya berpisah selepas enam tahun bercinta.
 
Kata kamal, sehingga kini dia masih lagi tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka tiada lagi sebarang hubungan dan masih mengharapkan agar Intan dapat bersemuka dengannya untuk berbincang tentang hubungan berkenaan. Intan pada 25 Ogos lalu mendedahkan hubungan cinta bersama Kamal sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah.

Keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu.

Sementara itu, Intan berkata, dia tidak akan mendedahkan sebab-sebab memutuskan hubungannya dengan aktor tersebut kerana ia terlalu peribadi.

"Tak payahlah saya nak menjaja cerita tentang cinta yang tidak kesampaian ini, bukannya orang suka dengar pun.

"Perkara ini melibatkan saya dan dia, jadi biarlah kami sahaja yang tahu sebab-sebab hubungan ini putus," ujarnya.

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK
 

Sabtu, 27 September 2014

Zed Zaidi Terpilih Lagi Sebagai Presiden SENIMAN

Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jalil menewaskan dua calon lain yang turut bertanding iaitu seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof dan Afdlin Shauki.



KUALA LUMPUR: Pelakon Zed Zaidi berjaya kembali mendapat kepercayaan ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk menerajui kepimpinan sebagai presiden apabila mendapat 109 undian pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-14 persatuan itu.

Majlis berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu.

Zed berjaya mengalahkan pesaingnya, Datuk Mustapha Maarof yang hanya meraih 71 undi dan Afdlin Shauki (66 undian).

Timbalan presiden pula disandang oleh Zack (Kool) selepas meraih 103 undian menewaskan Sabri Fadil (30), Afdlin Shauki (71), Sofea Jane (32).

Pelakon Zahrin Ishak dipilih sebagai Setiausaha Kehormat, penolongnya disandang oleh Rena Tan manakala Vanidah Imran menyandang jawatan Bendahari.

Tujuh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Seniman pula disandang oleh Sofia Jane, Jamaludin Mat (Abang Jem), Khir Rahman, Sharifah Amani, Lisa Surihani, Arash Mohamad, dan Rashidi Ishak.

Pelakon Dira Abu Zahar dan Adlin Aman Ramli menyandang jawatan sebagai juruaudit.

AGM Seniman Ke-14 dikendalikan oleh Pengerusi Sementara iaitu Datuk Yusof Haslam dan Jurey Latiff Rosli sebagai pemerhati.

Ketika pemilihan sedang berlangsung, suasana menjadi sedikit tegang apabila beberapa ahli mempertikaikan kredibiliti calon yang dipilih oleh ahli.

Bagaimanapun keadaan masih lagi terkawal dan pemilihan berlangsung dengan lancar.

Kira-kira lebih 1,000 ahli Seniman hadir pada mesyuarat AGM tersebut dan ini merupakan perjumpaan yang dihadiri ramai selebriti lama dan baru.

Antara selebriti lain yang turut hadir termasuklah Bront Palarae, Hans Isaac, Fauziah Nawi, Nadia Nissa, Sherry Alhadad, Azhan Rani, Remy Ishak dan Susan Lancaster.

Terdahulu Zed pernah memegang jawatan presiden Seniman bagi AGM ke-14 hampir sepenggal sebelum ia dibatalkan atas perintah mahkamah pada 21 November tahun lalu dan jawatan itu adalah tidak sah.

Pada 25 Januari 2013, lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap Seniman termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang.

Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

Kemudian, pada 21 November 2013, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, dekat sini adalah terbatal dan tidak sah.

Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Seniman.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab).

Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.


Oleh: FERIDE HIKMET ATAK
 

Datuk Jamal Abdillah Berangkat Ke Tanah Suci Tunai Ibadat Haji

Antara yang mengucapkan selamat jalan kepada Datuk Jamal Abdillah.

Datuk Jamal Abdillah (tengah) bergambar bersama anak dan beberapa rakan kongsinya di KLIA sebelum berlepas ke Makkah. 


KUALA LUMPUR: Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah berangkat ke Tanah Suci Makkah petang tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menunaikan ibadat haji.

Jamal mengerjakan ibadat berkenaan tanpa ditemani ahli keluarganya sebaliknya mengikut agensi yang menguruskan urusan haji ke sana.

Di laman Facebook miliknya menunjukkan teman baik beliau mengucapkan selamat jalan dan tidak ketinggalan ada yang mendoakan penyanyi bersuara emas itu supaya mendapat haji mabrur.

Jamal akan berada di sana selama 16 hari.


(Kredit: BH Online)

Jumat, 26 September 2014

Belasungkawa Datuk Jamil Sulong: Perginya Pengarah Terunggul



Nama Datuk Jamil Sulong bukanlah asing lagi dalam kalangan peminat dunia perfileman Melayu sejak era filem hitam putih.

Dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat pada 6 Ogos 1926, Jamil atau lebih dikenali dengan pangilan Pak Jamil mula bekerja sebagai penterjemah dan seterusnya memegang jawatan penolong pengarah di syarikat Malay Film Productions pada 1951.

Beliau pernah berlakon dengan Tan Sri P Ramlee pada awal 1950-an menerusi filem Patah Hati (1952) dan Miskin juga pada tahun sama.

Menerusi pengalaman yang ditimba, Pak Jamil akhirnya muncul dengan filem arahan pertamanya, Batu Belah Batu Bertang­kup. Filem lain arahan beliau ialah Bidasari, Si Tanggang, Permintaan Terakhir, Ranjau Sepanjang Jalan dan Jasmin.


JENAZAH Pak Jamil disembahyangkan selepas solat Jumaat.
  
 JENAZAH diusung untuk dibawa pulang ke Janda Baik.


Raja Melewar adalah filem arahannya yang terakhir dan keseluruhannya Pak Jamil pernah mengarahkan hampir 30 filem.


Beliau amat mahir de­ngan gurindam dan sinonim sebagai penulis lirik lagu filem lakonan dan arahan Tan Sri P Ramlee antaranya Hujan Panas (1953), Siapa Salah (1953), Panggilan Pulau (1954), Hang Tuah (1955) dan Semerah Padi (1956).

Bakatnya yang luar biasa dihargai apabila diangkat sebagai penulis tamu (Ahli Cipta) di Universiti Sains Malaysia (USM), Ketua Panel Penilai Skrip di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan menjadi AJK Akademi Filem di FINAS.

Pak Jamil juga pernah menghasilkan buku berjudul Kaca Permata yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka dan Tiada Kata Secantik Bahasa yang diterbitkan FINAS pada 2008.

Beliau berkahwin dengan Datin Rosnani Jamil atau Mak Nani dan dikurniakan tiga anak iaitu Arjunaidi, 58, Anwardi, 55, dan Asnadi, 48, serta mempunyai lapan cucu.

Anwardi mengikut jejaknya apabila aktif dalam bidang pengarahan dan penerbitan manakala cucunya, Diandra aktif dalam bidang nyanyian.

Pak Jamil kini tiada lagi apabila pergi menghadap Ilahi pada usia 88 tahun akibat serangan angin ahmar. Lebih sebulan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.35 malam Khamis di rumah anaknya di Bukit Utama, Damansara, di sisi Mak Nani dan anggota keluarga lain.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di masjid Al Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Pahang untuk disemadikan.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Mustapha Maarof, Datuk DJ Dave, Datuk Maria Menado, Datuk Hattan, Raja Norbaizura, Aziz M Osman dan ramai lagi.

Datuk Mustapha yang ditemui menyifatkan industri kehilangan sebutir permata hebat yang pernah menyinari persada seni sejak sekian lama.

“Saya mula kenal Allahyarham sejak 1953 dan beliau seorang yang lemah lembut, suka ketawa serta tiada sifat marah. Beliau jugalah yang me­ngambil saya berlakon filem Hang Tuah dengan memegang watak Tun Zainal.

Saya sempat melawatnya di PPUM 10 hari lalu, tetapi dia sudah tidak sedarkan diri ketika itu,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga sependapat dengan Mustapha apabila menyifatkan pemergian Pak Jamil suatu kehilangan besar kepada industri filem negara.

“Bakat luar biasa Allahyarham dalam pe­ngarahan filem pada zaman kegemilangannya sukar dicari ganti dan pemergiannya sentiasa dikenang.

“Biarpun ketika itu tidak mempunyai peralatan canggih dalam menerbitkan filem, namun, beliau masih mampu menghasil­kan karya berkualiti dan kebanyakannya masih diingati hingga ke hari ini,” katanya.

Anaknya, Dr Anwardi berkata, Allahyarham nampak gembira apabila berpeluang meraikan hari jadi salah seorang cucunya sebelum dijangka berang­kat ke Janda Baik.

“Bapa ada beritahu nak balik bercuti di rumahnya di Janda baik tetapi hasrat ini dibatalkan apabila beliau terkena serangan strok.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan pada masa sama, arwah dijemput Allah pada malam Jumaat 1 Zulhijah.

“Paling penting, bapa ada melahirkan kegembiraannya kerana anak serta cucunya berjaya dalam hidup,” katanya.

Sementara itu, Mak Nani yang kelihatan sugul meminta maaf kerana masih enggan ditemu bual kerana masih bersedih. Al Fatihah buat Allahyarham.

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Komposer Dan Penerbit TV Farihin Dan Enam Kru Ditahan Di UK Disyaki Pengganas

Farihin Abdul Fatah.


KUALA LUMPUR:Seorang penerbit TV bebas warga Malaysia dan enam kru ditahan kerana disyaki sebagai pengganas selepas tiba di United Kingdom, awal pagi Jumaat.

Farihin Abdul Fatah memberitahu Astro Awani bahawa mereka ditempatkan di dalam penjara selama 48 jam kerana disyaki sebagai pengganas berhampiran Manchester.

"Kami baharu sahaja tiba di Holyhead, Wales dari Ireland kira-kira pukul 12.20 pagi dan ketika kami beratur untuk mengisi kad imigresen, kami ditahan seramai 20 anggota polis dan unit anjing pengesan," katanya dalam Buletin Astro Awani 7.45 malam Jumaat.

Anggota kru diarahkan supaya memunggah bagasi mereka untuk diperiksa polis sebelum diberikan beberapa keping borang untuk diisi.
"Selepas menunggu selama empat jam, seorang anggota polis datang, memberikan pakaian seragam kepada kami untuk dipakai dan memberitahu kami ditahan kerana disyaki sebagai pengganas.

"Tangkapan itu membuatkan kami kehairanan," kata Farihin.

Jelasnya, mereka ditahan kerana karavan kru terbabit didakwa mengandungi sejenis bahan kimia yang dipercayai bahan letupan.

Farihin dan anggota kru terbabit didakwa dibawah Akta Anti-Keganasan 2000.

Ketika di dalam penjara, Farihin dan anggota kru terbabit dilayan dengan baik.
Makanan disediakan dan mereka juga diberikan salinan Al-Quran dan sejadah untuk menunaikan solat.

Farihin merupakan individu penting disebalik kejayaan kumpulan nasyid terkemuka negara, Raihan.

Beliau berkata, anggota kru tidak dapat menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga mereka.
Katanya, beliau tidak dibenarkan untuk menghubungi keluarga atau Kedutaan Malaysia di UK.

Farihin berkata, beliau sempat menghantar dua mesej kepada isterinya dan beberapa rakan rapat untuk memberitahu mereka mengenai tangkapan tersebut sebelum dibawa ke penjara.

Jelasnya, mereka diwakili peguam bertugas untuk membantu mereka dalam siasatan semasa tangkapan.

Farihin dijangka tiba di negara ini awal bulan depan.


(Kredit: mStar Online)

Kamis, 25 September 2014

Shila Amzah Gagal Jernihkan Hubungan Dengan Pihak Media

ND Lala menggunakan peluang sidang media anaknya untuk menghentam beberapa wartawan dengan mengulas semula status-status di laman sosial peribadi mereka.


Sidang media yang dianjurkan penyanyi Shila Amzah, 24, pada Rabu bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara penyanyi itu dengan pihak media berbahasa Melayu bertukar kepada serangan peribadi kepada segelintir pengamal media.

Bapa penyanyi itu, ND Lala menggunakan peluang tersebut menghentam beberapa wartawan dengan mengulas semula status-status di laman sosial peribadi mereka dan mempersoalkan kewajaran status tersebut dimuat naik.

ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah, 52, berkata, media melayu cuba membuat provokasi dan memainkan sentimen bangsa antara kaum Melayu dan Cina.

Walhal perkara tersebut dicetuskan sendiri oleh anaknya yang dulu dikenali sebagai Shila Tekno itu melalui laman Instagram bertarikh 15 September lalu.

"Anak saya Shila didakwa mengagungkan media berbahasa Cina dan menyelar tindakan media berbahasa Melayu yang tidak membuat liputan dan menyokong konsert pertamanya. Sebaliknya Shila menyindir media berbahasa Melaysia lebih cenderung membongkar cerita peribadi dan kontroversi mengenainya termasuk isu cinta berbanding liputan berkaitan kerjaya. Fitnah atau fakta? " ujarnya pada sidang media yang diadakan di Mega Music, Cheras.

ND Lala turut mempertikaikan pencapaian wartawan-wartawan tersebut yang kononnya tidak setanding jika dibandingkan dengan apa yang telah dikecapi oleh anak kebanggaannya yang telah mengharumkan nama negara di mata dunia.

Penyanyi Era 90an itu turut berucap mengingatkan kepada tetamu yang hadir yang kebayakkannya terdiri daripada 90 peratus media berbahasa Cina itu beberapa kejayaan Shila yang patut diberi perhatian dan diingati.

Sidang media yang sepatutnya dihadiri oleh wakil-wakil media itu juga dilihat tidak mendapat sambutan media-media utama berbahasa Melayu, sebaliknya dipenuhi oleh segelintir peminat fanatik penyanyi tersebut yang diberi peluang bersama-sama menyaksikan sidang media itu.

Setelah dua jam sidang media berlangsung dengan dikendalikan oleh bapanya, Shila akhirnya muncul pada sesi soal jawab.

Shila yang menafikan tentang konsert tersebut mendapat tajaan daripada sebuah syarikat perjudian menganggap ia sebagai satu fitnah buat dirinya dan keluarganya.

Tambahnya, dia sangat tersinggung dengan laporan sebuah akhbar yang menyebut konsert sulung yang berlangsung pada 13 September lalu itu ditaja oleh syarikat judi.

"Saya sangat tersinggung dengan laporan sebuah akhbar yang mendakwa konsert saya ditaja oleh syarikat judi. Itu betul-betul mencalar reputasi saya sebagai seorang yang berhijab dan pada ayah saya yang sentiasa menyokong budaya dan agama. Saya tak boleh terima langsung perkara tersebut.

"Kalau anda (pihak media berkenaan) tidak boleh menulis sesuatu yang baik tentang saya, lebih baik lah jangan menulis apa-apa. Kalau pun anda tak suka dengan saya, anda boleh cakap terus pada saya tapi jangan kaitkan dengan ibu bapa saya", jelasnya.

Sementara itu, mengenai tindakannya memuat naik semula (re-post) status seorang peminat di Instagram (@shilahamzah_photography) yang mempersoalkan kehadiran media Melayu pada konsert tersebut sehingga tercetusnya kontroversi ini, Shila berkata, dia mempunyai pendapat sama dengan peminat yang tidak dikenali itu.

Dalam pada itu, Shila yang mempertahankan pendirian yang dianggap berada ditempat benar itu mengakui hanya memohon maaf atas dasar dirinya lebih muda daripada pihak yang tersinggung dengan tindakannya itu.

Namun dia menegaskan tidak sesekali memaafkan fitnah yang dilakukan terhadap dia dan keluarga.

Dia juga bersedia jika pihak media benar-benar mahu memulau atau boikot dari diberikan sebarang publisiti di media berbahasa Melayu.


- mD

Rabu, 24 September 2014

Aeril Zafrel & Wawa Zainal Didenda Kerana Nikah Tanpa Kebenaran

Aeril dan Wawa dikenakan denda didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling atas kesalahan melakukan pernikahan tanpa kebenaran. 

   
SHAH ALAM: Pelakon Aeril Zafril didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini pada Khamis atas kesalahan melakukan pernikahan tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai menurut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairi Sunari, 26, dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Saharuddin Selamat.

Dalam pada itu, aktres Wawa Zainal yang juga isteri Aeril turut mengaku bersalah bersubahat atas kesalahan sama dan dikenakan denda sebanyak RM800 atau penjara sekiranya gagal membayar denda.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 22, melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 134 (subahat) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Kedua-dua pasangan itu diwakili Peguam Syarie, Mohd Aizan Md Idrus manakala pertuduhan dibuat Pendakwa Syarie, Khafizah Ahmat Khairi.

Menurut pertuduhan, Aeril dan Wawa melakukan pernikahan tanpa kebenaran pada 25 Februari 2012 di sebuah rumah beralamat 2, Lorong 7A, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya kira-kira pukul 8 malam.

Sementara itu, bapa angkat Aeril, Wahap Raub yang turut dituduh bersubahat dalam kes berkenaan turut dikenakan denda sama seperti Wawa.

Dua lagi tertuduh iaitu bapa Wawa iaitu Zainal Abidin Sulong yang bertindak sebagai wali dan Salim Asari tidak menghadirkan diri kerana berada di Sabah.

Dalam perkembangan sama, usaha mStar Online untuk mendapatkan kenyataan pasangan itu gagal selepas mereka menghilangkan diri sejurus kes itu selesai.

Pasangan itu yang pada mulanya berjanji untuk memberikan kenyataan membiarkan sekumpulan wartawan menunggu di perkarangan mahkamah selama 30 minit sebelum diberitahu mereka telah pulang.

Aeril dan Wawa bernikah buat kali kedua dengan kebenaran pada 4 Februari tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia 15 bulan.

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI

Selasa, 23 September 2014

Shahrol 'Shiro' Nafi Bercinta Dengan Anak Tiri Saleem 'Iklim'

Shahrol mengakui dia kini masih solo dan tidak mempunyai teman wanita.

        
PETALING JAYA: Anggota kumpulan Shiro iaitu Shahrol menafikan gosip kononnya dia kini sedang bercinta dengan bekas finalis program Projek Metro iaitu Iera Fakhira, 24 tahun.

Sharol atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi, 30, bagaimanapun tidak menafikan mengenali wanita berkenaan namun hubungan mereka sekadar teman biasa.

"Saya kenal Iera tetapi gosip mengatakan kami bercinta itu tidak benar dan hubungan kami sekadar kawan biasa sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iera atau nama sebenarnya Nurfakhira Che Abdul Muhsin, 24, adalah anak tiri kepada penyanyi Saleem (Iklim) iaitu anak kepada isterinya, Juriah Bachok dengan suami terdahulu.

Dalam pada itu, Shahrol memberitahu, dia dan Iera sudah lama tidak bertemu ekoran wanita berkenaan kini tidak berada di dalam negara kerana bertugas dengan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.


























Iera Fakhira atau nama sebenarnya Nurfakhira Che Abdul Muhsin, 24, adalah anak tiri kepada penyanyi Saleem (Iklim).


Jelas Shahrol, gosip kononnya dia bercinta dengan Iera tidak perlu diperbesarkan kerana tidak wujud sebarang hubungan cinta di antara mereka.

"Tiada apa-apa pun, kawan sahaja. Tambahan pula dia kini tidak berada di Malaysia kerana bertugas sebagai pramugari dengan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.

"Sebelum ini dia adalah pramugari syarikat AirAsia. Kami pun sudah lama tidak berhubung di antara satu sama lain," jelasnya.

Sementara itu, Shahrol memberitahu, dia kini masih solo dan belum terfikir untuk mencari teman wanita kerana sibuk dengan kerjaya seninya sebagai pelawak.

"Belum ada sesiapa lagi kerana tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal peribadi dan fokus saya kini adalah berkaitan kerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrol berkata, dia kini sibuk rakaman program Sukalattew di Astro Warna selain terlibat dalam Super Spontan bersama seorang lagi ahli Shiro iaitu Ajak.


Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI

Den Wahab Tidak Halalkan Wang RM15,000 Yang Dipinjam Oleh ND Lala

Den Wahab (kiri) bersama isterinya, Nora. Den Wahab merupakan pengusaha pakaian Baju Melayu pernah menjadi sahabat baik ND Lala.


      
PETALING JAYA: Pelakon Den Wahab sudah malas untuk memikirkan dan mengharap wang sebanyak RM15,000 yang pernah dipinjam oleh penyanyi ND Lala, kira-kira 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, Den atau nama sebenarnya Zaharudin Abdul Wahab berkata, perkara tersebut tidak bermakna dia menghalalkan hutang tersebut walaupun setelah sekian lama tidak diselesaikan.

"Entahlah, kalau dia rasa hutang itu penting dia akan bayar. Saya sudah malas nak fikir dan berharap dia akan membayarnya walaupun dia sudah kaya sekarang.

"Tetapi bagi saya hutang tetap hutang dan saya tidak boleh lupa masa dia susah dulu merayu meminta tolong daripada kawan-kawan," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi  di sini pada, Isnin.

Den berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kontroversi hutang yang dipinjam ND Lala sebanyak RM15,000 sekitar tahun 2000 bagi merakam lagu untuk sebuah parti politik.

Katanya, bapa kepada penyanyi Shila Amzah itu tidak pernah menghubunginya selepas berjanji memulangkan wang tersebut secara ansuran.



ND Lala bersama anaknya penyanyi Shila Amzah. 

Malah, katanya, ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah Salleh, 52,  cuba melarikan diri apabila ternampaknya di majlis hiburan.

"Saya tahu nilai tersebut tidak banyak tetapi sebagai orang Melayu beragama Islam, kita sepatutnya berpegang kepada janji.

"Apa yang saya kesal dia rosakkan nilai persahabatan dan orang yang ikhlas membantu dia ketika susah.

"Saya pernah ternampak ND Lala semasa satu persembahan di Istana Budaya dahulu, tetapi dia cuba mengelak selepas terserempak dengan saya," ujarnya.

Mengimbau waktu itu, Den berkata, dia sudah dinasihatkan rakan-rakan artis yang lain agar tidak membantu penyanyi tersebut.

Namun, dia tidak sampai hati dan sentiasa berfikiran positif untuk membantu sesama bangsa.

Dalam perkembangan lain Den turut mengulas tindakan Shila Amzah yang mempersoalkan kredibiliti media Melayu sebagai sesuatu perkara yang tidak mengejutkannya.

Tambahnya, sebagai artis berpengalaman dia menasihatkan agar penyanyi itu sedar tindakan yang dilakukan wanita itu akan merosakkan reputasinya sendiri.

"Bila saya tahu cerita tentang Shila yang menempelak media sebagai tidak menyokong kerjayanya, saya tidak terkejut langsung.

"Dia tidak sedar tindakan itu seperti kacang lupakan kulit dan merosakkan reputasi dia sendiri. Susah kalau orang sudah berada di puncak dan mereka selalu lupa orang yang tolong mereka ketika di bawah," katanya. 


Oleh: KEMALIA OTHMAN

Minggu, 21 September 2014

#AF2014: Farez Pelajar Kedua Tersingkir

Farez tersingkir setelah berada di kedudukan terendah sejak minggu lalu.



Sebentar tadi telah berakhirnya konsert ketiga #AF2014 yang bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Setelah berada di kedudukan terendah sejak minggu lalu, akhirnya pelajar #AF2014 Farez kecundang jua apabila namanya diumumkan sebagai pelajar lelaki pertama yang tersingkir dengan peratusan undian sebanyak 2.8 %.

Dengan tema ‘Hits Fantasia’, Farez atau nama sebenarnya Muhammad Fareezuan Adnan telah menyampaikan lagu ‘Awan Nano’ nyanyian asal oleh juara Akademi Fantasia 7 iaitu Hafiz Suip.

Selain Farez, pelajar yang turut mendapat undian terendah selepas konsert adalah Nina dengan peratusan undian sebanyak 4.76 % dan diikuti dengan Zarif iaitu 4.4 %.

Manakala pelajar yang mencatatkan undian tertinggi adalah Azwan, 26 %, Firman, 15.86 % dan Aman dengan 10.34 %.

Konsert ketiga #AF2014 ini juga dimeriahkan dengan persembahan juara-juara AF yang lalu iaitu Mawi, Zahid, Faizul, Mila dan Hazama di permulaan konsert.

Selain itu pelakon Izzue Islam turut hadir memberikan kejutan buat Ziha yang meminati aktor tersebut dengan menjadi ‘model’ semasa pelajar tersebut membuat persembahan.

Dalam pada itu, tiga orang juri yang bertanggungjawab untuk memberi komen terhadap para pelajar di konsert ketiga ini ialah Dato’ Ramli MS dan Raja Azura selaku juri tetap manakala pengacara terkenal Datuk Aznil Hj Nawawi selaku juri jemputan.

Penyingkiran Farez diumumkan oleh hos #AF2014, Zizan Razak dan Faizal Ismail.

Dengan penyingkiran pelajar berusia 19 tahun itu, kini tinggal 10 orang bintang #AF2014 yang akan meneruskan perjuangan mereka sehingga bergelar juara.

Jangan lupa untuk mengundi pelajar #AF2014 kegemaran anda dengan menaip:


AFUNDI (NAMA SINGKATAN PELAJAR) ke 32777 atau AFUNDI10 (NAMA SINGKATAN PELAJAR) KE 32777

#AF2014 bersiaran secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Maya HD (saluran 135).

Saksikan Diari AF pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 9.00 malam manakala Konsert Mingguan AF akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap Ahad, jam 9.00 malam.

Bagi merancakkan lagi musim ini, Konsert Pertama dan Minggu akhir #AF2014 akan ditayangkan secara serentak di tiga buah saluran iaitu Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Untuk maklumat lanjut seperti berita terkini, gambar dan video menarik #AF2014, sila layari www.af.com.my  atau tekan butang merah 'R' di alat kawalan jauh anda.

(Kredit: Astro Gempak)

Gaya ‘Selfie’ Artis Di Malam Anugerah Lawak Warna 2014





Sungguhpun Anugerah Lawak Warna 2014 (ALW 2014) sudah berlalu, namun Astro Gempak tetap ingin berkongsikan cerita menarik yang berlaku sepanjang majlis anugerah itu.

ALW 2014 yang bertemakan Tuksedo dan Lipstick Merah itu dipenuhi ramai selebriti berpakaian glamor sesuai dengan tema yang ditetapkan.

Selain melaram dengan pakain rekaan designer masing-masing, para selebriti yang hadir turut merakamkan foto ‘selfie’ mereka sebagai tanda kenang-kenangan.

Di bawah Astro Gempak kongsikan foto ‘selfie’ selebriti popular tanah air:


 

Macam-macam ragam dan aksi mereka kan? Anda rasa...siapa pemilik 'selfie' yang paling menarik?

(Kredit: Astro Gempak)

Datuk Siti Nurhaliza Tegur Sikap Fanatik Peminat Artis

Datuk Siti Nurhaliza 


KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza berkata beliau terpaksa menegur sikap fanatik sesetengah peminat artis yang sewenang-wenangnya menabur fitnah demi mempertahankan artis kesayangan mereka.

Siti berkata, ini kerana peminat artis itu menuduh beliau merasuah wartawan dengan hadiah semata-mata untuk membeli jiwa mereka.

"Siti sedar ada peminat fanatik yang tidak berfikir panjang dengan membuat andaian sebegitu. Siti sudah lali dengan keadaan begini.

"Memang ada masa peminat mahu mempertahankan artis kesayangan mereka dengan apa cara sekalipun.

"Cuma dalam isu membabitkan Shila (Amzah) ini, Siti tak seronok apabila andaian yang dibuat peminatnya boleh mendatangkan fitnah. Siti komen balas itu sebagai peringatan dan teguran buatnya," katanya.

Mengenai isu penyanyi Patah Seribu itu yang sedang berkonflik dengan media Melayu khususnya berikutan tindakan beliau menuduh media tidak menyokong kerjaya seni dan lebih suka menulis kisah peribadi, Siti sebagai penyanyi senior meluahkan pandangannya.

"Siti sebagai kakak kepadanya di dalam industri, dia perlu sentiasa berfikir panjang dulu dengan sebarang tindakan yang dibuat. Artis dan media saling memerlukan.

"Mungkin apa yang berlaku ini, dia terlepas pandang. Kalau bukan dia yang tulis kenyataan sebegitu atau ada orang lain menulis pun, kena banyak kali fikir sebelum memuat naik sesuatu di laman sosial. Hal ini membabitkan artis dan media. Di mana dia bermula pun dengan bantuan rakan media," katanya.


Oleh Zaidi Mohamad

Sabtu, 20 September 2014

Filem 'Sejoli ' Menang Besar 'Anugerah Lawak Warna 2014'

Filem Sejoli menang besar apabila berjaya merangkul kesemua enam  kategori filem.


   
SHAH ALAM: Filem Sejoli dan drama Bila Joyah Dah Goyah berjaya mengungguli Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Teater Selangor di sini pada malam  Jumaat.

Sejoli menang besar apabila berjaya merangkul kesemua enam  kategori filem iaitu Filem Komedi Terbaik, Lakon Layar Komedi Terbaik, Skrip Komedi Terbaik, Pengarah Komedi Terbaik (Osman Ali), Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Maya Karin) dan Pelakon Komedi Lelaki Filem Terbaik (Bront Palarae).


Manakala drama Bila Joyah Dah Goyah menang lima kategori iaitu Pelakon Lelaki Komedi Terbaik (Kazar Saisi), Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Jasmin Hamid), Rancangan Komedi Terbaik (Bukan Bersiri), Skrip Komedi Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik (Jamal Khan).



 AC Mizal dan Nabila Huda sebagai pengacara ALW2014


Johara Pagi Era - Sketsa Johara meraih anugerah segmen komedi radio paling popular.


 
Antara filem lain yang tercalon ialah Bikers Kental, Adnan Sempit 3, Kami Histeria dan Hantu Tok Mudim manakala drama pula ialah Osman Baku, Yem Rempit, Projek Memikat Suami dan Benci Vs Cinta.

Rancangan komedi lain yang tercalon pula ialah Warna Raya, Fuyoo Raya Zizan, Kaunter Kaboom Raya, Lari-Lari Raya, Jihan Tak Nak Balik Raya dan Pengancam Perkahwinan.

Sementara itu, pelakon Jepp (Sepahtu) meraih trofi Artis Lawak Lelaki Popular dan Sharifah Sakinah menang Artis Lawak Wanita Popular.

Sebanyak 21 kategori dipertandingkan di mana 15 daripadanya adalah bagi kategori filem dan drama, tiga kategori popular manakala tiga adalah anugerah khas juri.
Anugerah Lawak Warna dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Berikut adalah senarai pemenang mengikut kategori masing-masing:

KATEGORI FILEM KOMEDI TERBAIK*Sejoli (PrimeWorks Studio)

PELAKON KOMEDI LELAKI TERBAIK (FILEM)*Bront Palarae (Sejoli)

PELAKON KOMEDI WANITA TERBAIK (FILEM)*Maya Karin (Sejoli)

LAKON LAYAR KOMEDI TERBAIK (FILEM)*Sejoli (Osman Ali)

SKRIP KOMEDI TERBAIK FILEM*Sejoli

PENGARAH KOMEDI TERBAIK (FILEM)*Sejoli - Osman Ali

KATEGORI DRAMA PELAKON KOMEDI LELAKI TERBAIK (TV)* Kazar Saisi (Bila Joyah Dah Goyah)

PELAKON KOMEDI WANITA TERBAIK (TV)*Jasmin Hamid (Bila Joyah Dah Goyah)

RANCANGAN KOMEDI HIBURAN TERBAIK (BERSIRI)*Maharaja Lawak Mega 2013 (APSB/Homegrown)

SIRI TV KOMEDI TERBAIK (BERSIRI)*Oh My English - April Fool (Red Communication)

SIRI KOMEDI HIBURAN TERBAIK (BUKAN BERSIRI)*Karoot Komedia Raya

RANCANGAN KOMEDI HIBURAN TERBAIK (BUKAN BERSIRI)*Bila Joyah Dah Goyah

LAKON LAYAR KOMEDI TERBAIK (TV)*Jamal Khan - Bini Aku Hantu Langsuir

SKRIP KOMEDI TV TERBAIK*Bila Joyah Dah Goyah

PENGARAH KOMEDI TERBAIK (TV)*Nazir Jamaluddin - Bila Joyah Dah Goyah

KATEGORI POPULAR ARTIS LAWAK LELAKI PALING POPULAR*Jepp (Sepah)

ARTIS LAWAK WANITA PALING POPULAR*Sharifah Sakinah

SEGMEN KOMEDI RADIO PALING POPULAR*Johara Pagi Era - Sketsa Johara

ANUGERAH KHAS JURI* Hamid Gurkha  * Datuk Jamali Shadat* Senario


Oleh: FERIDE HIKMET ATAK    

Kamis, 18 September 2014

Alyah Akhirnya Membuka Mulut Tentang Perkahwinannya

 "Yang pasti, kami tak kahwin lari atau membelakangkan keluarga. Kami kahwin atas restu keluarga.- Alyah




KUALA LUMPUR: Selepas tiga minggu kediaman konduktor muzik Datuk Ramli MS dan Alyah di Bandar Kinrara, Puchong diserbu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang akhirnya terbongkar pasangan ini sudah berkahwin sejak 18 Mac 2013, Alyah akhirnya membuka mulut.

Kebetulan ketika berada di pusat beli-belah KLCC, BH Online terserempak dengan penyanyi berkenaan yang baru selesai menjalani latihan Konsert Malaysia Tanah Airku di Dewan Filharmonik Petronas.

Kesempatan itu dimanfaatkan untuk bertanya isi hati Alyah selepas insiden berkenaan, apatah lagi kini sudah berstatus sebagai isteri kepada Ramli.

"Kehidupan saya macam biasa. Cuma mana-mana orang akan cakap tahniah. Tak kurang juga yang ucap Selamat Pengantin Baru. Malah ada yang usik saya dengan panggilan Datin.

"Mula mula janggal juga dengan panggilan itu. Alyah tak ambil pusing sangat gelaran itu. Insiden yang terjadi itu sudah tak mahu saya dikenang. Apa yang terjadi ada hikmahnya.

"Bukan saya tak pernah lalui kesukaran sedemikian rupa. Apa yang pasti saya mendapat maklum balas yang positif dan tak ada yang cakap belakang," katanya.

Bagi penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang ini, persoalan kenapa perkahwinan mereka perlu dirahsiakan lebih wajar diajukan sendiri kepada suaminya.

"Yang pasti, kami tak kahwin lari atau membelakangkan keluarga. Kami kahwin atas restu keluarga. Tak timbul isu saya menderhaka sehingga wujud cerita ibu saya menangis.

"Soal kenapa dirahsiakan itu, saya rasa biarlah dia (Ramli) yang jawab. Cuma di pihak saya, apabila berkahwin ini segala keputusan bukan atas diri sendiri. Sekarang dah ada suami, banyak benda kena rujuk kepada dia.

"Soal rahsia perkahwinan ini pun bukan suka suka. Hanya orang awam saja tak tahu tapi keluarga kami tahu kami sudah berkahwin. Cuma saya mohon pengertian orang di luar sana," katanya.

Tambah Alyah lagi, sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa akan tiba masanya beliau akan mendedahkan status dirinya.

"Cuma tak sangka ia didedahkan dengan keadaan itu (insiden diserbu anggota JAIS)," katanya.

Bagaimana pula dengan majlis resepsi pasangan itu?

"Soal majlis itu kena tanya dia. Tapi saya dengar dia nak buat kenduri doa selamat masuk rumah baharu bulan ni atau awal bulan depan, bukan resepsi seperti yang dihebohkan sebelum ini," katanya.

Alyah kini masih menetap di rumahnya sekitar Damansara dan berulang alik ke rumah Ramli di Kinrara untuk membantu suaminya mengemas rumah.

Alyah mengakui beliau ditawarkan banyak penerbitan untuk menampilkannya sebagai penghias muka depan tetapi memilih untuk menolaknya secara baik.

Kini Alyah rancak mempromosikan jenama sendiri Gaya Alyah (instagram @gayaalyah) dengan mengikuti festival dan bazar di sana sini.

Di bawa Gaya Alyah terdapat tiga pecahan iaitu TurbanistaAlyah, HijabeeAlyah dan bakal melancarkan untuk busana bagi wanita bersaiz comel di bawah nama Fashhhplus.

Konsert Malaysia Tanahairku itu akan berlangsung pada 21 September ini jam 8.30 malam di DFP. Tempahan tiket boleh dilakukan dengan menghubungi 03-20517007, dfp_boxoffice@petronas.com.my atau www.mpo.com.my.


Oleh Zaidi Mohamad


http://www.blogger.com/follow-blog.g?blogID=8363443698103552948

Bekas Isteri Sham Kamikaze Dedah Kisah Rumah Tangga Dalam Lagunya

Farazila yang kini dikenali dengan nama Farazila AJ


 
Bekas isteri kepada Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar tidak menafikan single pertamanya yang berjudul 'Allah Tahu' berkisar mengenai keretakan rumah tangganya kira-kira dua tahun lalu.

Bercakap kepada mStar online, Farazila yang kini dikenali dengan nama Farazila AJ, berkata, dia menghasilkan lagu tersebut bagi meluahkan perkara terkubu dihatinya selama ini tentang kemelut yang melanda rumah-tangga mereka ketika itu.

"Benar saya hasilkan lagu berkenaan untuk menjelaskan apa yang saya lalui ketika itu kerana saya tiada saluran untuk meluahkan perasaan dan apa yang terbuku dalam hati saya selama ini.

"Menerusi lagu itu juga saya dapat menjawab tentang persoalan dan tuduhan serong sesetengah pihak terhadap saya sebelum ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.




Sham (Kamikaze)


Bagaimanapun kata Farazila, lagu itu dihasilkan bukan berniat untuk mengungkit kisah lalu sebaliknya ingin berkongsi perasaannya dengan pendengar yang barangkali mengalami nasib sama sepertinya.

"Saya sedar mungkin akan ada pihak yang menganggap saya sengaja mahu membuka cerita lama tetapi itu bukan niat saya malah lagu itu sudah lama siap cuma baharu tahun ini dapat dilancarkan.

Bagaimanapun disebalik luahan saya ia sebenarnya membawa mesej yang lebih luas yang mungkin terjadi kepada sesiapa sahaja sebab itu saya beri nama lagu itu 'Allah Tahu'," katanya.

Sham dan Farazila mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 di Batu Pahat, Johor sebelum disahkan bercerai pada 1 September 2011.

Rabu, 17 September 2014

Raja Azmi Dan Suami Sudah Tidak Tinggal Sebumbung

RAJA AZMI kini sedang menerima ujian dalam rumah tangganya yang baru dibina pada Oktober tahun lalu.


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah nasib yang melanda penerbit filem yang sering diselubungi kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Siapa sangka mahligai kedua yang dibina atas dasar cinta bersama pemain bass band CRK, Mohd. Eddie Ghazali, 45, pada 13 Oktober 2013 itu kini dilanda badai.

Raja Azmi sewaktu dihubungi enggan menjelaskan punca keretakan rumah tangganya itu. Dalam nada sedih, penerbit yang berusia 55 tahun itu, tidak berselindung, mereka kini sudah sebulan tidak tinggal sebumbung.

“Masalah sudah berlaku selama sebulan dan dalam tempoh itu kami telah tinggal secara berasingan. Bukan untuk lari daripada masalah tetapi kami memerlukan ruang untuk berfikir tentang masa depan rumah tangga kami.

“Saya tidak akan berkongsi punca masalah rumah tangga kami. Biarlah hanya kami berdua sahaja yang tahu. Banyak hati yang harus dijaga, saya bimbang jika saya berkata lebih akan mengguris hati banyak pihak,” kata Raja Azmi mohon difahami.

Kesedihan hati Raja Azmi jelas terpancar menerusi nada suaranya yang tidak ceria seperti selalu. Terangnya, tiada perkataan yang boleh menggambarkan gundah hatinya ketika ini.

“Jujur saya tidak tahu bagaimana mahu menerangkan dengan perkataan tepat tentang keadaan saya ketika ini. Memang saya sedih, siapa yang tidak sedih apabila perkahwinan yang dibina atas dasar cinta menghadapi masalah.

“Semua orang berkahwin kerana ingin bahagia, sama juga seperti saya. Namun, apa daya saya apabila dugaan datang dalam keadaan saya tidak bersedia untuk menghadapinya,” ujarnya.

Terang penerbit filem ...Dalam Botol itu, beliau kini sedang berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya dan belum membawa masalah rumah tangga mereka ke peringkat mahkamah syariah lagi.

“Buat masa sekarang kami berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga dan belum terfikir untuk ke mahkamah syariah lagi.

“Jika boleh, saya mahu rumah tangga kami pulih seperti biasa tetapi saya bersedia dan reda dengan segala kemungkinan yang ditulis oleh Allah untuk saya,” terangnya tentang perkahwinan yang dibina sejak 11 bulan yang lalu.

Dalam pada itu, Raja Azmi yang lantang bersuara dalam segala isu itu sudah terbiasa dilanda kontroversi. Hatinya cukup kental dan tidak kisah dengan risiko yang dihadapinya selepas mengeluarkan sebarang kenyataan.



SUDAH sebulan tidak tinggal sebumbung, Raja Azmi masih mahu menyelamatkan hubungan rumah tangganya bersama Eddie.

Bagaimanapun kali ini amat berbeza. Raja Azmi tidak lantang seperti selalu. Nada suaranya juga suram, malah, beliau juga gagal menyusun ayat untuk memberi jawapan yang terbaik tanda tekanan yang amat besar sedang dihadapinya.

“Memang saya sudah biasa dengan kontroversi. Saya tidak kisah orang mahu berkata apa sahaja tentang saya kerana sebelum ini kontroversi hanya melibatkan saya seorang sahaja.

“Namun, kali ini berbeza kerana membabitkan rumah tangga dan keluarga saya. Memang saya akui, dalam banyak kontroversi yang melanda, masalah rumah tangga ini memberikan tekanan paling besar buat saya.

“Saya minta maaf andai saya tidak dapat memberi kerjasama kepada pihak media yang cuba menghubungi saya. Saya harap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat saya dan Eddie,” luahnya.

Raja Azmi dan Eddie berkenalan pada Februari tahun lalu ketika menonton persembahan band NRG. Sejak itu, mereka menjalinkan hubungan cinta dan bertunang pada 15 Julai tahun yang sama.

Hubungan Raja Azmi dan Eddie bukan sahaja direstui oleh keluarga, malah bekas suaminya, Mohd. Jalani Sidek turut hadir ke majlis perkahwinan gilang gemilang yang berlangsung pada 13 Oktober tahun lalu di Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Eddie merupakan suami keduanya. Sebelum itu, Raja Azmi pernah mendirikan rumah tangga selama 27 tahun bersama pemain badminton negara, Mohd. Jalani Sidek.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Puteri Suraya, 29, Puteri Suaida, 25, dan Megat Deli, 20 dan bercerai pada 27 Jun 2012. Eddie mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulunya, Daniel, 22, dan Effy, 20.


Oleh HARYATI KARIM

Luna Maya Menjadi Pilihan AC Mizal

 AC Mizal (kiri) dan Luna Maya.

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk AC Mizal mengakui terpaksa menggunakan populariti aktres Indonesia, Luna Maya sebagai pasangan duet menerusi single lagu terbaharunya iaitu Paranoid kerana ingin menarik perhatian masyarakat seberang.

AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 42, berkata, sejak awal lagi dia bercita-cita untuk  menembusi pasaran Indonesia dengan berduet bersama penyanyi  negara itu dan membayangkan Luna sebagai artis pilihan.

"Tipu jika saya kata saya tidak menggunakan populariti Luna kerana mahu lagu ini tembus ke pasaran Indonesia.

"Dan apabila bekerjasama dengannya menerusi Maharaja Lawak Mega, saya  sebagai pengacaranya ketika itu melihat dia mempunyai karakter yang tersendiri ketika menjadi juri.

“Kemudian, apabila saya memberi dia dengar lagu tersebut, dia terus berminat untuk bekerjasama kerana ia berkonsep muzik dance," katanya mepada mStar Online.

AC ditemui pada majlis pelancaran single lagu Paranoid di G Tower, di sini pada Rabu.

Paranoid merupakan sebuah luahan kiasan tentang dilema yang sedang dihadapi manusia di dunia. Ia ciptaan Jeff (A To Z).

Ia tentang kerakusan manusia, keganasan yang tidak berkesudahan, perbezaan ideologi yang membawa kepada persengketaan, seterusnya mengakibatkan sikap paranoid timbul di dalam diri seseorang.

Lagu itu ciptaan Jeff (A To Z).

Pada majlis itu, AC turut mengumumkan dia kini bernaung di bawah syarikat rakaman  Sony Music dengan menandatangani kontrak untuk 12 keluaran single lagu.

Sementara itu, AC berkata, selepas pelbagai single lagu berduet dengan beberapa penyanyi, dia sudah berani tampil secara solo.

"Dulu saya tak berani nak tampil solo, kerana berdasarkan pemerhatian saya sebagai seorang ahli perniagaan, saya belum berkemampuan untuk berdiri sendiri apatah lagi dengan industri seni kita yang perlahan.

"Tetapi saya mula yakin untuk tampil secara solo selepas kejayaan lagu-lagu single sebelum ini seperti Al Haq yang menampilkan Mawi dan Apa Kono Eh Jang (bersama Fida Ibrahim).

" Selepas Paranoid, saya mahu tampil solo dan tunjukkan yang saya bukan sekadar boleh rap, tetapi mampu juga untuk menyanyi sambil menari," ujarnya.

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK 

Rutin Hidup Scha Alyahya Berubah 180 Darjah Selepas Bergelar Ibu

Scha dan Awal di samping cinta hati mereka, Lara Alana. 


KUALA LUMPUR: Scha Alyahya mengakui rutin hidupnya selepas bergelar ibu berubah 180 darjah.

Kehadiran Lara Alana Ahmad Awaluddin, 2 bulan, ternyata mengubah dirinya ke satu fasa lain yang kian menyeronokkan.

Ia satu pengalaman dan tanggungjawab baru buat isteri kesayangan Awal Ashaari ini. BH Online bertemunya petang tadi di Bangsar. Akui Scha pada fasa permulaan bergelar ibu, perasaan gelabah dan terkejut itu bermain di fikiran.

Kini Scha sedang membiasakan diri mengikut rentak dan momentun kehidupan barunya itu. Kehadiran Lara melengkapkan lagi kebahagiaan Scha dan Awal. Pasangan ini berkahwin pada Mei 2012.

"Lara jenis akan bangun dua jam sekali minum susu. Jam 6.30 pagi dia sudah bangun tidur untuk ajak kita bersembang dan bermain dengannya. Di awal kelahirannya, saya yang banyak menjaganya. Tapi sekarang sudah seimbang kerana suami pun ambil tanggungjawab bersama.

"Pendek kata ketika ini memang keutamaan kepadanya. Tambahan saya belum kembali bekerja. Masa memang banyak dibahagikan kepadanya. Bayangkan saya ambil masa sekitar tiga jam untuk menyiapkan Lara untuk keluar rumah atau ke mana-mana.

"Perlu siapkan bekalan susun serta keperluan bayi lagi. Itu belum kira dalam perjalanan menaiki kereta ke destinasi dituju pasti kena berhenti untuk tukar lampin. Jadi perjalanan ke destinasi itu pasti tertangguh atau lewat dari kebiasaan kerananya," katanya yang masih mengacarakan program Muzik Muzik di TV3 selain menunggu untuk ke lokasi penggambaran sebuah drama tak lama lagi.

Scha memberitahu beliau dan suaminya juga sedang merancang untuk mengeluarkan rangkaian pakaian bayi tidak lama lagi. Sebelum ini pun pasangan suami isteri berjinak-jinak menjual pakaian kasual sendiri.

"Apabila melihat anak, naluri saya dengan suami mula tercetus untuk menghasilkan jenama pakaian bayi pula. Awal sendiri pun memang suka bergaya. Jadi kami terfikir kenapa tak keluar dengan pakaian yang menarik untuk digayakan golongan bayi.

"Kami akan keluarkan idea dengan rekaan sendiri untuk projek ini. Ketika ini perniagaan pakaian saya Schapaholic masih beroperasi seperti biasa di The Curve. Suami saya pun merancang untuk membuka restoran di The Curve juga," katanya.

Oleh Zaidi Mohamad

Anak Jackie Chan Ditahan Polis Kerana Kes Dadah

Jaycee Chan (kiri) bersama bapanya Jackie Chan 

BEIJING: Polis di sini dengan rasminya menahan anak lelaki bintang filem Hong Kong Jackie Chan yang disyaki membenarkan orang lain mengambil dadah.

Menurut pendakwa, tuduhan itu membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara.

Pejabat Pendakwa Daerah Dongcheng memberi kebenaran bagi penahanan pelakon Jaycee Chan berikutan permintaan daripada polis minggu lalu.

Jaycee Chan, 31, adalah selebriti berprofil tinggi yang ditahan oleh pihak berkuasa polis kerana tuduhan berkaitan dadah pada 14 Ogos lalu bersama bintang filem Taiwan Ko Kai.

Polis berkata kedua-dua pelakon diuji positif marijuana dan mengakui menggunakan dadah berkenaan manakala sejumlah 100 gram dirampas daripada rumah Chan. - AP

Selasa, 16 September 2014

Rahsia Tubuh Sasa Shah Rukh Khan Terbongkar

Shah Rukh Khan



MEMILIKI bentuk badan sasa memang idaman setiap orang begitu juga pelakon tersohor Shah Rukh Khan. Dia yang sedang menjalani penggambaran filem Happy New Year berusaha lebih enam bulan untuk mendapatkan bentuk abdomen 8 pax di badannya.

Kata jurulatih khas yang dilantik sendiri oleh Shah Rukh, Prashant Sawant, pelakon itu mengambil masa dua setengah bulan untuk pulih daripada kecederaan bahu selepas tamat penggambaran filem Chennai Express sebelum memulakan rejim latihan yang telah ditetapkan.

"Shah Rukh seorang pelakon yang berdisiplin, bersemangat dan mengikuti setiap arahan yang diberikan. Pada usia 49 tahun dia masih memiliki kadar metabolisma yang tinggi dan mudah membentuk badan luar daripada kebiasaan.

"Lima hari seminggu selama 20 minit dia akan bersenam pada pukul 2 pagi, saya menambah latihan stamina, kekuatan, angkat berat setiap sesi serta teknik powerplay yang akan membina otot pada bahagian bahu. Paling penting tekan tubi pada bahagian perut," katanya menerusi sebuah portal hiburan.


Shah Rukh seorang pelakon yang berdisiplin, bersemangat dan mengikuti setiap arahan yang diberikan.


Rejim itu bertukar setiap 15 hari dan Prashant menetapkan Shah Rukh cuma boleh mengambil diet tertentu sahaja seperti telur, kopi, salad, kentang, ikan dan ayam yang hanya dipanggang serta minuman tambahan protein.

Sementara itu, menurut temu bual Shah Rukh bersama The Times of India, jelasnya: "Idea saya untuk bersenam kerana mahu kekal cergas tapi akhirnya saya terpengaruh dengan Prashant dan mengambil masa sebulan untuk mendapatkan bentuk badan ini."

Senin, 15 September 2014

Tasha Shila Kerap Dihimpit Lelaki 'Hidung Belang'

JELITA..Tasha Shila menyerahkan jodoh kepada Yang Maha Esa.




Kuala Lumpur: Pelakon jelita, Tasha Shila mendedahkan dirinya kerap dihimpit "lelaki hidung belang" yang kononnya mahu memperisterikannya walau pun umum mengetahui dia kini sudah mempunyai kekasih yang juga peninju muay thai bernama Hans.

Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak,27, berkata rata-rata lelaki itu mahu menjalin hubungan serius dengannya malah tanpa segan silu menyuruh dirinya meninggalkan Hans.

"Saya hanya berterus-terang dan bersikap jujur kepada mereka bahawa saya sudah mempunyai kekasih hati iaitu Hans," katanya.

Katanya, dia juga tidak suka mengenali dan berkawan dengan ramai orang apatah lagi yang kononnya mahu serius dengan dirinya.

"Kalau mereka hanya mahu berkawan, saya ok saja tapi kalau mahu serius saya kurang selesa dengan perkara itu," tambahnya.

Mengulas mengenai hubungannya dengan Hans, pelakon yang kini semakin aktif dalam bidang pengacaraan juga memaklumkan setakat ini tiada masalah selain menyerahkan jodoh kepada Yang Maha Esa.

"Tipulah kalau saya sebagai wanita tidak mahu berkahwin awal tapi mungkin rezeki itu belum ada.

Perancangan memang ada tapi apa pun Allah yang menentukan segala-galanya.

"Hubungan kami setakat ni ok.

Kami juga masing-masing sibuk dengan kerjaya tetapi kami bersikap "give and take" malah dia (Hans) juga tidak mengongkong saya.

"Setiap perhubungan memang mahu ia diakhiri dengan perkahwinan tapi banyak perkara perlu difikirkan sebelum ke peringkat seterusnya," katanya.

Ketika ditanya mengenai persepsi orang ramai mengenai hubungannya dengan jejaka terbabit, katanya dia tidak ambil pusing mengenai perkara itu apatah lagi sibuk dengan penggambaran lakonan.

"Kalau dulu sedih juga dengan pelbagai dakwaan tidak senang dilemparkan segelintir masyarakat tapi sekarang malas ambil kisah.

Rutin harian habis penggambaran terus balik dan tidur," katanya.

Mengenai perkembangan terbaru, Tasha kini mengacara rancangan hiburan Galaksi yang disiarkan di TV9 bersama pelawak, Ajak Shiro dan bakal beraksi dalam drama bersiri "Tabir Zulaikha untuk slot Samarinda di TV3.

Oleh Nurul Huda Kosnon

Beyonce Hamil Anak Kedua

Jay Z dan Beyonce sudah enam tahun mendirikan rumah tangga dan memiliki sorang anak perempuan Blue Ivy yang kini berusia 2 tahun.
 


BIARPUN isu keretakan rumah tangga antara penyanyi Beyonce dan suaminya Jay Z belum lagi berakhir, namun suami yang juga penyanyi rap terkenal itu telah memberi isyarat bahawa Beyonce kini sedang mengandung anak kedua mereka.

Perkara tersebut diberitahu ketika konsert mereka berjudul On The Run yang diadakan di Paris Jumaat lalu.

Jay Z memberitahu perkara itu melalui lagu rap yang dinyanyikannya dengan menggantikan sebaris lirik asal sebuah lagu.

"Kerana dia sedang hamil anak kedua," demukian lirik yang dinyanyikan oleh Jay Z.

Perkara tersebut mengundang reaksi peminat dan pengunjung yang hadir pada malam konsert tersebut seperti dipetik Daily Mail.

Jay Z dan Beyonce sudah enam tahun mendirikan rumah tangga dan memiliki sorang anak perempuan Blue Ivy yang kini berusia 2 tahun.

Sehingga kini kedua-dua selebriti ini tidak pernah sekalipun memberi kenyataan terhadap status rumah tangga mereka.

Malah mereka tetap mempamerkan kemesraan di khalayak seoalah-olah menepis khabar angin tentang masalah rumah tangga mereka.

Alif Satar Sah Bergelar Suami Kepada Sha Dila Halid

 Alif Satar sah bergelar suami kepada Sha Dila Halid jam 11. 40 pagi tadi.
 
  

Dengan sekali lafaz, penyanyi dan pengacara, Alif Satar sah bergelar suami kepada Sha Dila Halid jam 11. 40 pagi tadi. Majlis diadakan secara tertutup di Bilik Perdana Felda, Jalan Semarak.

Pasangan ini dinikahkan berwali bapa pengantin perempuan, Halid Mohamad dan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Zaki Mahmood.

Penyanyi naungan Sony BMG Music itu menyerahkan wang hantaran berjumlah RM19,000, mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran. Sementara, isterinya membalas tujuh dulang hantaran.

Pasangan ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi di Putrajaya pada 20 September ini.

Alif juga baru muncul dengan single berjudul Setiap Hari ciptaan Panji Sakti buat isterinya.

Norish Karman Sudah Ada Kekasih Baru

Norish Karman dikatakan sedang dilamun cinta.

 
Sejak bergelar ibu tunggal, pelakon dan bekas pengacara rancangan Nona, selain sibuk dengan kerjaya seninya, Norish Karman juga kerja bekerja keras bagi melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan berasaskan makanan.

Anak-anaknya juga turut sibuk membantu di dapur sejak Ramadan lalu. Ketika itu, Norish atau NK bersama anak-anak­nya meng­usahakan perniagaan makanan dan menjualnya di bazaar. Terbaru, dia sibuk mempromosikan sos makanan dihasilkan sendiri.

Meskipun sibuk bekerja menguruskan perniagaan dan waktu sama berada di lokasi penggambaran, ada berita gembira disampaikan teman-teman mengenai NK.

Dia dikatakan sedang dilamun cinta. Kata mereka, hubungan cinta NK dengan jejaka ini agak baru lagi. Ibaratnya mereka dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Jejaka yang berjaya memenangi hati NK juga katanya ahli perniagaan.

Melihat perkembangan itu, patutlah NK sekarang gigih menguruskan perniagaan makanan. Rupa-rupanya ada orang di belakang yang tolong mengajar.

Hanez Suraya Dakwa Ada Rakan Sengaja Mahu Memalukannya

 Hanez Suraya tidak mahu mendedahkan identiti individu yang telah memalukan dirinya.


Pelakon Hanez Suraya menyedari ada pihak telah memburukkan dirinya di laman sosial dengan tujuan tertentu.

Bercakap kepada mStar online, aktres berusia 28 tahu itu berkata, pihak tersebut telah memuatnaik beberapa foto lamanya di laman Instagram milik individu berkenaan semata-mata untuk menghina pelakon itu.

"Ini bukan kali pertama individu itu berbuat demikian. Sudah banyak kali dia menjatuhkan maruah saya dengan memuat naik foto-foto lama dan kemudian mengutuk saya pula.

"Entah apa tujuannya saya tidak pasti tetapi apa yang dilakukan pihak itu adalah seperti mahu menganiaya diri saya. Jika tidak puas hati dengan saya, bersemuka saja secara profesional," katanya.

Tambah Hanez, lebih mengejutkan individu yang disyaki itu merupakan rakan yang dikenalinya.

Hanez berkata dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah atau bermusuh dengan individu terbabit.

Bagaimanapun, pelakon drama 'Love You Mr. Arrogant' itu tidak mahu mendedahkan identiti individu tersebut kepada umum kerana mahu cuba menyelesaikan masalah itu secara profesional.

"Tak mahulah cakap buruk orang. Itu sahaja yang boleh saya dedah kepada semua. Sikapnya seperti keanak-anakan.

"Saya reda dengan semua dugaan ini dan percaya benda-benda baik pasti akan ada buat orang yang bersabar. Cuma lambat atau cepat sahaja.

"Apapun, saya harap dia sedar dengan perbuatannya yang tidak matang itu," ujarnya.

Syahrini Kantoi Cuba Menipu Peminat

Gambar yang dirakam oleh Syahrini di kawasan pergunungan indah di Itali didakwa palsu.


Penyanyi popular Indonesia, Syahrini dikatakan cuba menipu peminatnya apabila gambar yang dirakamnya di kawasan pergunungan indah di Itali didakwa palsu.

Sebaliknya, chef terkenal Indonesia, Farah Quinn mendakwa gambar tersebut sebenarnya diambil di Bondosowo, Jawa Timur ketika membuat lawatan ke daerah itu baru-baru ini.

"Tempatnya di Bondosowo, bukan di Itali," kata Farah sambil mengambil gambar selfie lokasi berkenaan.

Sebelum ini, Syahrini memuat naik gambar sedemikian di Instagram miliknya.

Cerita itu pastinya memeningkan kepala pelantun lagu Bohong itu selepas didakwa menjalankan bisnes karaoke tanpa permit baru-baru ini.

Rabu, 10 September 2014

Puteri Sarah Liyana Pasrah Dan Reda Dengan Ujian Tuhan

 Puteri Sarah bersama suaminya, Syamsul Yusof


Desas-desas mengenai isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Puteri Sarah Liyana mengalami keguguran sudah lama kedengaran sejak kebelakangan ini.

Insiden sedih tersebut khabarnya berlaku pada Ramadan lalu sebelum pasangan suami isteri itu mengerjakan umrah di Tanah Suci.

Namun akhirnya Sarah tampil menjelaskan perkara itu kepada BHOnline bagi pengesahan semua pihak.

Dia yang kini bekerja dalam bidang pemasaran di Eiliya Boutique berkata pasrah dan reda dengan ujian Allah itu.

"Bukan rezeki saya. Insya-Allah saya dan suami akan terus berusaha melahirkan zuriat sendiri. Saya nak minta semua yang baca cerita ini terus mendoakan saya dan suami. Saya tak rasa sedih dengan ujian ini dan saya percaya ada golongan isteri di luar sana yang melalui fasa yang sama.

"Keguguran ini sebagai petanda saya boleh mengandung. Insya-Allah kalau ada rezeki lagi mengandung lepas ini, siapa tahu saya boleh dapat anak kembar pula. Lagipun dalam sejarah ibu dan bapa saya, ada kembar yang dilahirkan," katanya.

(Kredit: BHOnline)

Senin, 08 September 2014

Sherry Ibrahim Akui Sedang Berkawan Rapat Dengan Fattah Amin

Fattah Amin dan Sherry Ibrahim


 
“YA, kami sedang berkawan rapat. “Saya selesa berkawan dengannya dan kini kami dalam proses saling mengenali hati budi di antara satu sama lain,” akui pendatang baharu, Fattah Amin ketika diminta mengulas mengenai hubungannya dengan aktres cantik, Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim.

Mengulas lanjut, Hero Remaja 2012 itu memberitahu, dia mengenali aktres itu selepas bersama-sama membintangi telenovela, Cinta Ibadah.

“Kami kenal sejak tiga bulan lalu, iaitu ketika sedang menjalani penggambaran telenovela tersebut. Dia tidak sombong dan tidak kedekut ilmu serta senang hendak  bawa bersembang. Itu yang membuatkan saya suka berkawan dengannya. “Hubungan itu akhirnya terjebak hingga ke luar lokasi. Kami ada juga keluar melepak bersama-sama tetapi turut dihadiri dengan kawan-kawan.

“Biasanya, ketika di lokasi penggambaran, saya seorang yang gemar membawa diri sebab itu saya jarang rapat dengan pelakon lain tidak kiralah sama ada pelakon wanita atau lelaki.

“Oleh sebab itu, dalam tempoh dua tahun saya dalam bidang ini, saya tidak punya kenalan yang betul-betul rapat dalam industri,” katanya pada Zass.

Begitu pun, aktor Playboy Itu Suami Aku ini menafikan yang mereka kini sedang menjalinkan hubungan cinta.

“Kami hanya rapat sebagai kawan. Dalam masa terdekat ini, fokus saya adalah pada soal karier. “Lagi pun, saya baharu saja mahu membina nama dalam industri ini,” tegasnya yang berhasrat membuka pusat gimnasium bersama rakannya, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pelakon berusia 24 tahun ini tidak menolak sekiranya jodohnya adalah wanita yang lebih berusia daripadanya.

“Saya tiada masalah dengan perkara itu. Kalau itu sudah jodoh saya, saya menerima seadanya. Apa yang penting hati budi dan bukannya umur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fattah bakal muncul telenovela, Cinta Ibadah bergandingan dengan Aishah Ilias, Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Nor Albaniah dan Sharolnizam serta bakal ditayangkan di saluran Astro Prima (saluran 105), Maya HD (saluran 135), Ria Plus dan Astro On The Go mulai 8 September lalu.

Pada masa sama, Fattah turut menerima tawaran membintangi dua telefilem daripada produksi di Indonesia selain bakal terlibat menjalani penggambaran filem
terbitan Skop Production, tidak lama lagi.