Sabtu, 30 Agustus 2014

Semangat Patriotik Allahyarham Sudirman Haji Arshad Tetap Dikenang

 

AL FATIHAH..Semangat patriotik Allahyarham Sudirman Haji Arshad telah mendorongnya untuk mengeluarkan album patriotik bertajuk ‘Abadi’ pada tahun 1982.


 
KUALA LUMPUR – Bagaikan lagu dan irama, nama Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad ternyata tidak boleh dipisahkan apabila memperkatakan berkenaan lagu patriotik.

Malah, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu juga muncul individu pertama ‘mengabdikan’ bendera Malaysia pada songkok dan pakaian ketika membuat persembahan.

Hakikatnya, bukan sekadar pakaian, malah jiwa patriotisme Allahyarham Sudirman begitu terserlah dan setiap kali menjelang hari kemerdekaan negara, lagu dendangan Allahyarham seperti ‘Warisan’ dan ‘Tanggal 31 Ogos’, tetap mekar di jiwa merdeka anak bangsa Malaysia.

Keikhlasan Allahyarham Sudirman dalam mendendangkan lagu itu terus mekar dan segar sekalipun tanpa sedar beliau telah 22 tahun bersemadi.

Bagi bekas pengurus beliau, Dani’el Dharanee Dharan Kannan, Allahyarham Sudirman yang lahir daripada Bintang RTM pada 1976 selayaknya juga dikenali sebagai ‘Ikon Perpaduan Negara’ dan ‘Biduan Malaysia Sebenar’.

“Imej perpaduan lahir secara semula jadi dalam diri Sudirman. Konsert beliau tidak pernah gagal, sentiasa dipenuhi masyarakat berbeza-beza latar belakang, bukan sekadar kaum, malah perbezaan dari segi kelas ekonomi juga boleh berhimpun dalam konsert yang sama,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio24 baru-baru ini.

Dani’el berkata perasaan cintakan negara dalam jiwa penyanyi, pelakon, kartunis dan peguam yang dilahirkan pada 25 Mei 1954 itu begitu mendalam, sehingga beliau sentiasa membawa ‘Malaysia’ ke mana sahaja beliau mengadakan persembahan.

“Beliau banyak mendapat undangan mengadakan persembahan di luar negara. Imej Malaysia tidak pernah lekang, malah beliau bangga memakai baju Melayu dan bersongkok di luar negara.

Selepas 22 tahun beliau meninggal dunia pada 22 Feb 1992, bait pertama lagunya berjudul Warisan, selain diangkat menjadi tema sambutan kemerdekaan, turut menjadi inspirasi kepada lagu tema kemerdekaan tahun ini “Malaysia…Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ dendangan Bob Yusof.

“Tidak mungkin kita mendapat penggantinya. Ada yang bertanya mengapa tidak kita ‘cipta’ satu lagi Sudirman dan jawapan saya ‘Only God can create him’,” katanya yang menguruskan Sudirman selama lima tahun sejak 1987 hingga 1992.

Kata Dani’el, sifat patriotik Sudirman itu juga mendorong penyanyi berkenaan untuk mengeluarkan album patriotik bertajuk ‘Abadi’ pada tahun 1982.

Bagi komposer terkenal Fauzi Marzuki, Allahyarham Sudirman juga sangat berdisplin dan menjiwai apa jua gerak kerja dilakukan beliau dengan mengambil tahu setiap perincian dalam persembahan supaya tidak mengecewakan peminat.

“Sudirman adalah Sudirman, tidak mungkin kita boleh berjumpa seorang lagi penyanyi sepertinya,” katanya.

(Kredit: BERNAMA)

Kenapa Dato' Ramli MS Merahsiakan Perkahwinannya Dengan Alyah??

Kini Alyah menggunakan gambarnya bersama Dato' Ramli MS sebagai gambar profil akaun WhatsApp miliknya.
 

Pengarah muzik terkenal, Dato` Ramli MS mempunyai sebab utama mengapa merahsiakan perkahwinannya bersama penyanyi Alyah. Namun tidak menolak merasa  kesal kerana serbuan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam ke atas rumahnya telah digembar-gemburkan seolah-olah dilihat sebagai satu jenayah.

“Memang salah saya kerana merahsiakan perkahwinan kami tapi saya kesal kerana serbuan itu digembar-gemburkan seolah-olah saya buat jenayah. Macamlah saya jual pil ecstasy atau pil kuda! Yang kecoh sangat soal peribadi saya apa pasal?” katanya seperti dipetik menerusi Harian Metro.

Pagi semalam Rumah kediaman bekas pengetua Akademi Fantasia itu di Bandar Kinrara, Puchong, telah diserbu oleh pihak JAIS awal pagi semalam kerana dia disyaki berkhalwat dengan penyanyi Alyah.

Menurut Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh, 54, dia sudah berkahwin dengan Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasilah Hassan, 33, pada Mac tahun lalu di Batam, Indonesia tetapi enggan menyatakan sebab mereka merahsiakan pernikahan itu.

“Kenapa saya tak mengaku kahwin sebelum ini, ada sebabnya. Saya tak mahu cakap kerana itu hak peribadi saya. Saya tak tahulah apa tanggapan orang di luar sana,” katanya lagi.

Rumah banglo mewah tersebut adalah merupakan rumah baru bagi Ramli dan dia dikhabarkan akan berpindah masuk ke rumah itu sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Mengulas pula mengenai serbuan pihak JAIS ke atas rumahnya, Ramli memberitahu itu adalah prosedur biasa yang dilakukan bahagian penguat kuasa berikutan aduan yang mereka terima.

“Saya faham JAIS hanya menjalankan tugas mereka. Saya tidak marah malah mempelawa mereka masuk ke rumah saya. Rumah itu bukan rumah maksiat tetapi rumah baru saya,” kata Ramli lagi.

Pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad dalam satu kenyataannya berkata pasangan Ramli MS dan Alyah akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihaknya pada Selasa ini, 2 September untuk penelitian.

Sumber dari JAIS turut memberitahu ketika serbuan dibuat, dokumen asal pernikahan mereka di Batam tiada dalam simpanan waktu itu, justeru JAIS memberi tempoh sehingga 2 September ini untuk mereka mengemukakan dokumen asal di pejabat JAIS.

(Kredit: Harian Metro)

Rabu, 27 Agustus 2014

Rumah Datuk Ramli MS Dan Alyah Diserbu Pegawai Pencegah Maksiat??

Datuk Ramli MS dan Alyah diarah mengemukakan bukti bahawa mereka telah berkahwin di pulau Batam, Indonesia kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Selasa depan.
 

PUCHONG: Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengunjungi kediaman mewah komposer ternama Datuk Ramli MS di Bandar Kinrara, di sini awal pagi ini, dipercayai bagi menyiasat status hubungan beliau dengan penyanyi Alyah.

Dalam tinjauan pada jam 7.30 pagi oleh sembilan pegawai JAIS yang lengkap beruniform itu dikatakan mendapati mereka sudah berkahwin.

Alyah dikatakan berada di banglo berkenaan ketika pegawai JAIS datang menyiasat.

Wartawan BH yang berada di tempat kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi milik Alyah berada di kediaman itu.

Pekerja kontraktor yang mengubahsuai banglo juga memaklumkan pasangan itu kerap dilihat bersama.

Menurut sumber JAIS, pasangan itu sudah berkahwin sejak setahun lebih lalu.

Katanya, Ramli dan penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu akan ke JAIS dalam masa terdekat untuk memberikan kenyataan serta bukti perkahwinan bagi tujuan pendaftaran.

Difahamkan pasangan itu bernikah di Batam, Indonesia tetapi belum mendaftar perkahwinan mereka di negara ini.


Ketua Pengarah JAIS Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, siasatan ke atas pasangan itu dibuat selepas Bahagian Penguatkuasa JAIS menerima aduan awam.

Menurut sumber, sekiranya Ramli dan Alyah gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan itu, mereka boleh dikenakan tidakan kerana kesalahan berkhalwat.

Katanya, ia selaras dengan kesalahan khalwat Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Ketika pemeriksaan pasangan itu hanya menunjukkan gambar kartu perkahwinan (kad pengesahan nikah) mereka di Batam, Indonesia tetapi mendakwa dokumen asal tiada di dalam simpanan ketika itu.

"JAIS memberi tempoh selama enam hari, sehingga 2 September untuk mereka membawa dokumen asal itu ke pejabat atau jika gagal akan disabit kesalahan berkhalwat," katanya.

Ramli yang berpakaian kemeja T berwarna ungu dan seluar melepasi paras lutut kelihatan tenang.

Malah, beliau dilihat mengiringi pegawai JAIS keluar dari kediaman itu sejurus siasatan selesai sambil ketawa sesama mereka.

Perkembangan ini dijangka menamatkan teka teki mengenai status mereka selepas sebelum ini masing-masing enggan mengesahkan desas desus mereka telah berkahwin.

Selasa, 26 Agustus 2014

Suami Mariah Carey Mengaku Pernah Meniduri Kim Kardashian

 Mariah Carey dan suaminya Nick Cannon bersama anak kembar mereka.


Angin sedang bertiup kencang ketika ini berhubung isu perpisahan yang akan berlaku antara diva terkemuka Mariah Carey dan suaminya Nick Cannon.

Semuanya gara-gara kenyataan yang dikeluarkan Nick Cannon sendiri dalam sebuah program radio Big Boy’s baru-baru ini tentang lima wanita yang pernah ditidurinya.

Kerana kenyataan yang dikeluarkan pengacara dan penyanyi itu di corong radio berkenaan, Mariah Carey telah terasa terkesan terutama sekali salah seorang daripada lima wanita yang pernah ditiduri lelaki berkenaan ialah Kim Kardashian.


Nick Cannon bersama Kim Kardashian.



Menurut laporan yang dikeluarkan TMZ, diva kesayangan ramai itu terasa amat malu dengan kenyataan yang telah dikeluarkan suaminya terutama sekali apabila salah seorang wanita berkenaan adalah Kim Kardashian.

Nick Cannon telah menamakan lima wanita terkenal iaitu Christina Milian, Nicole Scherzinger, Selita Ebanks, Kim Kardashian dan termasuk Mariah Carey sebagai wanita yang pernah ditidurinya.

Sumber mengatakan kepada TMZ, pasangan berkenaan sudah mula hidup berasingan sejak Mei lalu dan tinggal di kediaman berasingan di bandaraya New York.

Bagaimanapun Nick Cannon tetap diberi peluang untuk bertemu kedua orang kembar mereka iaitu Moroccan dan Monroe pada hari tertentu sejak mereka tinggal beransingan.

Sumber juga mengatakan, pasangan berkenaan sudahpun menyerahkan hal penceraian mereka itu kepada peguam masing-masing terutama bagi menguruskan soal harta dan hak penjagaan kembar mereka yang kini berusia tiga tahun. 

Istana Cinta Kamal Adli & Intan Ladyana Runtuh Jua Akhirnya

 Intan Ladyana dan Kamal Adli akhirnya putus cinta.

     

KUALA LUMPUR: Hubungan pasangan pelakon Intan Ladyana dan Kamal Adli yang dibina sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah apabila kedua-dua mereka putus cinta.

Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu.

"Saya dan Kamal sudah tidak lagi mempunyai sebarang hubungan istimewa. Keputusan ini sudah lama kami fikirkan, tetapi sekarang baru dapat dibuat.

"Kalau boleh jangan tanya saya punca perpisahan kami ini, biarlah ia menjadi cerita peribadi kami. Saya anggap ini semua tiada jodoh untuk kami bersama," jelasnya ketika ditemui semasa sidang akhbar Anugerah Lawak Warna di Hotel Istana di sini, pada Isnin.

Intan berkata, biarpun hubungan tersebut sudah berakhir, ia tidak menghalang untuk mereka berhubung sebagai rakan biasa.

 
 Apakan daya... sudah tiada jodoh antara mereka.


Pelakon yang popular menerusi filem Adnan Sempit itu menjelaskan, dia tidak keberatan sekiranya digandingkan bersama-sama dalam lakonan dan akan bertindak secara profesional.

"Kalau diikutkan saya kini berasa lega setelah berterus terang mengenai hubungan kami. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada kerjaya dalam bidang lakonan," ujarnya.

Sementara itu, Kamal, 28,  yang dihubungi mStar Online terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Intan itu.

Malah aktor itu enggan memberi komen mengenai perkara tersebut dan meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada mereka berdua.

"Saya tak mahu komen panjang. Biarkan keadaan sejuk dahulu.

"Dan berikan saya dan Intan ruang dan masa sebelum saya mengeluarkan sebarang kenyataan. Harap anda faham,” pintanya.


Oleh: KEMALIA OTHMAN & FERIDE HIKMET ATAK

Senin, 25 Agustus 2014

Pelakon Kontroversi Eina Azman Kahwin Datuk Ahad Ini





KUALA LUMPUR: Eina Azman, 19, yang pernah dilanda kontroversi cinta tidak kesampaian dengan seorang pelakon, bakal melangsungkan pernikahan pada malam 31 Ogos ini di Hotel Grand Hyatt, di sini.

Eina memilih jejaka berketurunan Sikh berusia 35 tahun yang dicintainya sejak setahun lalu.

Menurut Eina, bakal suaminya Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden atau lebih mesra dengan nama Datuk Gmix, sudah berminat mendalami agama Islam sebelum mengenalinya lagi.

Bahkan ramai kawannya terdiri daripada kalangan orang Melayu.

"Ibu Eina pun banyak menolongnya untuk terus mendalami agama Islam. Dia sudah pandai baca Al-Fatihah dan surah lain. Sebelum ini pun, agama tidak pernah menjadi penghalang hubungan kami apatah lagi dia memang benar-benar mahu mendekati agama Islam.

"Apa yang lebih penting dalam hubungan kami ialah restu dari keluarga masing-masing. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan termasuklah urusan kahwin ini," kata Eina yang ditemui BH Online ketika berkunjung ke Balai Berita hari ini bagi menyerahkan kad kahwinnya.

Menurut Eina, biarpun berbeza usia 16 tahun, beliau tidak melihat itu sebagai satu masalah besar dalam pertalian mereka.

Baginya semua berbalik kepada soal jodoh dan katanya, mereka tidak mahu bercinta lama-lama.

"Eina berharap dengan berkahwin ini segala kontroversi yang pernah terpalit dalam kerjaya seni akan hilang. Eina nak bersih daripada segala kontroversi.

"Tapi itu tak bererti Eina akan berhenti berlakon. Bahkan bakal suami pun tak menghalang. Sekurang-kurang apabila sudah berumah tangga, ada orang yang boleh jaga Eina. Selepas kahwin pun Eina kena tahu batas.

"Harap perkahwinan ini akan melenyapkan segala fitnah," kata pemilik kepada nama sebenar Cik Ainur Syakina Azman itu.

Eina memberitahu, beliau juga sudah langkah bendul tiga kakaknya yang masih belum berkahwin.

"Eina anak bongsu daripada lima beradik. Lepas ini, Eina akan mengikut jejak abang sulung," katanya yang akan muncul dengan drama 13 episod, Selamat Pengantin Madu untuk slot Lestary TV3 mulai 3 September ini di samping pelakon Fasha Sandha, Aiman Hakim Redza, Dilla Ahmad, Marrisa Yasmin dan Falisha Crossley.

Pada majlis pernikahannya Ahad ini, Eina memilih tema Bollywood. Majlis persandingan akan diadakan hujung tahun ini.

Oleh Zaidi Mohamad

Rabu, 20 Agustus 2014

Rozana Misbun Failkan Permohonan Untuk Ketepikan Perintah Hak Penjagaan Sementara

Rozana Misbun (berselendang hitam) hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini.

 
Isteri penyanyi dan pelakon, Awie memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hak penjagaan sementara (hadanah) ke atas tiga anak mereka yang diperoleh artis itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syarie pada 21 Julai lalu.

Rozana Misbun, 36, turut memohon membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) oleh Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, pada 16 Julai lalu untuk menghalang Rozana daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.

Sebutan pertama permohonan tersebut telah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah pada Khamis (hari ini).

Bagaimanapun Awie yang diwakili oleh peguamnya, Mohd Hafizol Pacho telah memohon bantahan awal terhadap permohonan isterinya itu.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 September 2014 untuk mendengar penghujahan dan tarikh 18 September 2014 untuk keputusan permohonan bantahan tersebut.

Pada prosiding yang sama, Rozana menerusi peguamnya, Majdah Muda telah memohon secara lisan pindaan hak lawatan anak-anak yang diperolehi pada minggu pertama dan minggu ketiga selama dua jam pada setiap bulan di kediaman Awie yang terletak di Ukay Bestari ditukar ke kediaman ibu bapa anak guamnya yang terletak di Pantai Hill Park.



Ia berikutan Mahkamah Majistret sebelum ini telah mengeluarkan perintah perlindungan iaitu Rozana tidak dibenarkan berada dekat dengan Awie.

Mahkamah juga dimaklumkan Rozana sehingga hari ini tidak dibenarkan berjumpa anak-anaknya.

Selain itu, Majdah memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah tegahan agar anak guamnya tidak diprejudiskan oleh media samada akhbar atau mana-mana media sosial.

Bagaimanapun mahkamah menolak kedua-dua pemohonan tersebut kerana ia perlu dibuat mengikut prosedur.

"Segala permohonan hendaklah dibuat secara teratur dan bukannya secara lisan.

"Selain itu mahkamah tidak menghalang media massa membuat laporan selagi ianya tidak memprejudiskan kes dan subjudis terhadap kes", kata Amran.

Terdahulu Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.



Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.

Kredit foto : Suhaizul Izhar

- mD

Hans Isaac Dakwa Kenyataan Neelofa Menjejaskan Imejnya

 Hans Isaac



SEBENARNYA, kami agak pelik dengan Hans Isaac yang beria-ria mengatakan tindakan Neelofa (Lofa) mendedahkan hubungan mereka sudah berakhir awal tahun lalu menjejaskan imejnya.

Menerusi Murai.com, dia berkata, sebelum ini mereka sudah sepakat untuk tidak membuka mulut mengenai perkara itu.

“Apabila berita tersebut keluar ianya memberi kesan terhadap diri saya kerana sedia maklum saya berada juga bekerja dalam bidang korporat dan ianya tidak menunjukkan imej yang baik buat syarikat saya. Ianya menjadi bahan jenaka dikalangan rakan-rakan korporat saya,” katanya.

Alahai Hans…apa salahnya kalau Lofa memberitahu perkara sebenar kepada media?

Bukankah itu lebih baik daripada terus berahsia dan membuatkan para peminat terus tertanya-tanya status hubungan mereka.

Nanti, kalau Lofa dilihat bersama lelaki lain, tak pasal-pasal pula dia difitnah curang.

Pada masa yang sama, Hans mengakui dia masih menyayangi Lofa, namun sekadar rakan sahaja.


Neelofa ayu bertudung.
 

Ditanya mengenai gosip pengacara itu dilamar kerabat diraja, ini jawapannya:

“Saya tidak mengiyakan atau menafikan tentang berita tersebut. Tetapi mungkin ada kebenarannya sebab jika tidak, kenapa gosip tersebut boleh tersebar luas? Dan mengapa Neelofa harus tunggu sehingga dua bulan baru ingin keluar kenyataan mengenai berita tersebut?”

Senang cerita, tak perlulah lagi Hans mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kisah percintaan yang tak kesampaian dengan Lofa.

Lagipun, ia sudah berlalu dan peminat pun mungkin sudah tidak berminat untuk ambil tahu mengenai perkara itu lagi…



Oleh: ELZA

Kajol Teruja Dengan Sikap Ramah Dan Sopan Rakyat Malaysia

Kajol yang pertama kali berkunjung ke Malaysia cukup teruja dengan keramahan peminatnya yang disifatkan cukup sopan.


KUALA LUMPUR: Pelakon Bollywod, Kajol menjelaskan sifat ramah dan sikap sopan santun adalah sesuatu yang istimewa mengenai penduduk berbilang kaum negara ini.

Kajol, 40, berkata, kunjung pertamanya ke Malaysia benar-benar membuatkan dia berasa teruja dengan sikap mereka itu.

"Sejak saya sampai ke Kuala Lumpur ramai peminat yang menyapa dan melambai tangan ke arah saya. Paling saya hargai mereka peramah dan paling penting penuh sopan santun," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh pelakon Lisa Surihani pada majlis pelancaran saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD (saluran 251) di Hotel JW Marriot di sini pada malam Rabu.

Selain Kajol, aktor Aaron Aziz turut serta pada pelancaran berkenaan.


Kajol kelihatan ceria ketika ditemubual oleh pelakon Lisa Surihani.
 
Pelakon itu dijemput khas bagi melancarkan saluran berkenaan yang mengkhususkan penyiaran filem-filem dari Bollywood.

Kajol tidak ditemani suaminya iaitu Ajay Devgan.

Dalam pada itu menerusi temubual berkenaan Kajol turut menceritakan filem lakonannya bersama Shah Rukh Khan iaitu Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) pada 1998 adalah memori terbaiknya sepanjang dia bergelar pelakon.

Katanya, filem itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam pada dirinya tetapi juga peminat KKHH yang masih meminati karya tersebut sehingga hari ini.


"Kuch Kuch Hota Hai adalah sebahagian daripada hidup saya dan ia bukan sekadar filem tetapi adalah memori terbaik dalam hidup saya,"menurut Kajol.
 

"Sehingga ke hari ini perasaan seronok berada di set penggambaran bersama pelakon-pelakon lain dapat dirasai dan saya amat bersyukur ia masih kekal di hati peminat," katanya.

Tambah Kajol, dia tidak dapat membayangkan pelakon wanita lain melakonkan watak Anjali dalam KKHH kerana peranan itu dekat di hatinya.


 
Kajol melancarkan saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD 251 yang mengkhususkan penyiaran program eksklusif dari Bollywood.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran saluran  BollyOne HDl, Kajol berkata, ia satu tindakan baik selain memberi peluang kepada peminat yang menggemari filem dari India.

Jelas Kajol, keunikan filem-filem dari Bollywood membuatkan penonton menggemarinya dan dia yakin saluran itu akan mendapat sambutan hangat.

"Peminat filem Bollywood pasti akan teruja dengan saluran itu dan saya yakin ia akan mendapat sambutan hebat.

"Biarpun berbeza bahasa namun penonton masih boleh meminati karya-karya dari India kerana ia istimewa dan penuh warna," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kajol berkata, dia bakal memasuki set penggambaran filem terbaharunya dengan membawakan watak isteri mafia.

Selain itu, Kajol akan kembali bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi sebuah filem arahan Rohit Shetty.

Selain KKHH, Kajol juga popular menerusi  filem seperti Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kabhi Kushi Kabhi Gham dan My Name Is Khan.

(Kredit: mStar Online)

Senin, 18 Agustus 2014

Gambar Kekasih Baru Pelakon Zalif Sidek

 Zalif Sidek selesa bersama Syahirah kerana beliau seorang yang memahami kerjayanya.



MESKIPUN dahulu kisah cintanya dengan penyanyi Fida Ibrahim tidak kesampaian namun ia bukan titik noktah buatnya untuk bercinta lagi.
      
Nampaknya pelakon kelahiran Metrowealth Pictures ini sedang berbahagia dengan buah hatinya yang dikenali sebagai Syahirah.
      
Hubungan mereka mula menjadi perbualan apabila pelakon yang juga pelawak ini memuat naik gambar mesranya bersama seorang gadis di laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini.

      
Ditemui di majlis tayangan eksklusif telemovie Kem Cuci Tangan (Kecut), Zalif Sidek memberitahu memang benar dia dan gadis berkenaan berkawan rapat sejak beberapa bulan lalu.
      
“Sebenarnya dia adalah kawan lama saya dan kami juga tinggal di kawasan perumahan yang sama.
      
“Cuma, kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing,” katanya.
      
Jelas Zalif, Syahirah juga seorang yang memahami kerjayanya dan kerana itu dia selesa dengannya.
      
“Saya cuba membiasakan dia dengan gaya hidup saya sendiri sebagai selebriti supaya dia lebih faham dengan karier saya.
      
"Sebab itu, jika berkesempatan dan dia ada masa terluang saya akan membawanya ke majlis-majlis seni,” katanya.



Kisah cinta Zalif dengan penyanyi Fida Ibrahim tidak kesampaian.


       
 Ditanya adakah dia tidak menolak sekiranya bertemu jodoh dengan gadis itu, pelakon Papa I Love U itu berkata, dia tidak kisah kerana Syahirah seorang gadis yang baik.
      
 “Saya sangat menyenangi personalitinya, jadi saya harapkan yang terbaik dalam hubungan kami,” katanya.

Nabila Huda Bakal Tamatkan Zaman Janda?




KALAU benarlah khabar yang disampaikan menerusi portal Murai.com hari ini, pasti ramai peminat Nabila Huda sudah tidak sabar-sabar untuk melihat artis kesayangan mereka itu menamatkan zaman jandanya.

Apa tidaknya, selepas beberapa tahun solo dan melalui episod cinta yang tak kesampaian, akhirnya dia bakal bergelar isteri sekali lagi.

Khabarnya lagi, Nabila sudah memohon restu dan perbincangan sudah dilakukan bersama ayahnya, Amy Search di Johor Bahru.

Biarpun dia tidak pernah memberitahu secara terbuka identiti kekasihnya, ramai pihak mengatakan jejaka itu merupakan pengurus sebuah restoran di ibu negara.

Apapun, selagi tuan empunya badan tidak tampil memberikan kenyataan secara rasmi, selagi itulah kami tidak dapat mengesahkan kebenaran cerita ini.

Kita tunggu dan lihat saja ya…


Oleh: Elza

Awas!! 'Bahayanya Wanita'




KUALA LUMPUR: Teater Bahayanya Wanita yang pernah dipentaskan di Istana Budaya (IB) hujung tahun lalu akan dipentaskan semula bermula 20 hingga 24 Ogos ini. Ia kembali atas sambutan baik yang diraih teater arahan sutradara Erma Fatima sebelum ini. Malah 16 Ogos lalu teater ini turut dipentaskan di Singapura.

Menurut Umie Aida, ia juga datang dari cadangan pihak IB yang mahu mengembalikan kehangatan momentum teater berkenaan di pentas berprestij itu. Bagaimanapun pementasan akan berehat sehari pada Jumaat ini bagi menghormati rakyat Malaysia yang akan berkabung menyambut kepulangan 22 jenazah mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

"Beberapa pelakon asal termasuk saya, Erra Fazira, Nora Danish, Zizan Razak, Ziela Jalil dan Erma Fatima dikekalkan. Malah untuk pementasan kali ini Raja Ema turut ditampilkan sebagai emak Nora Danish. Neelofa dan wartawan Rudy Imran pun ada berlakon. Jadi secara tak langsung plot berubah sedikit sekali gus menambah kekecohan pementasan teater ini. Kelainan yang lain kenalah datang tengok sendiri.

"Ini juga kerja lakonan saya yang sulung selepas mengenakan tudung Ramadan lalu. Kalau dulu watak saya memakai rambut palsu yang keterlaluan gayanya tapi kini sejak bertudung, saya ditampilkan dengan gaya turban yang keterlaluan pula," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Menurut Umie, Bahayanya Wanita mengisahkan mengenai kehidupan lelaki yang berpoligami dan bagaimana nasib wanita yang melaluinya. Topiknya berat dan serius, tetapi ia akan disampaikan dengan cara yang santai dan ringkas termasuk menerapkan elemen komedi.

Tiket dijual dengan harga RM53, RM73, RM103, RM153, RM203, RM253 dan RM303. Layari laman web www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my untuk pertanyaan lanjut. Atau hubungi AirAsiaRedtix Ticketing Hotline di 03- 8775 4666.

Dalam sisi lain, rumah tangga Umie dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang pernah dikatakan bergoncang sebelum ini kembali sedia kala. Pasangan ini dilihat terus berjaya melayari bahtera perkahwinan yang dibina empat tahun lalu.

"Alhamdulillah, kami masih bahagia," katanya ringkas.

Oleh Zaidi Mohamad

Jumat, 15 Agustus 2014

Hanez Suraya Masih Hangat Bercinta Dengan Romie




SEBELUM ini, pelakon kontroversi Hanez Suraya pernah mengeluarkan kenyataan yang dia sudah ‘mengorbankan‘ hubungannya dengan kekasih iaitu Romie Razi Adilha ekoran kecaman bertalu-talu yang diterimanya sebelum ini.

Justeru, ramai yang tertanya-tanya adakah benar mereka sudah tidak menjalin sebarang hubungan cinta ataupun sekadar mahu menjernihkan suasana?

Menerusi Berita Harian, Hanez akhirnya membuka mulut mengenai statusnya kini.

Menurutnya, dia kini dalam keadaan berbelah bahagi lantaran ‘keengganan’ Romie untuk melepaskannya.

Berikut merupakan penjelasannya:

“Saya dalam keadaan berbelah bahagi sekarang. Mungkin ada ramai yang mendoakan hubungan kami berakhir. Itu satu fakta yang ramai mahu ia jadi sebegitu. Percaya atau tidak, andai kami putus atau sebaliknya, kebarangkalian untuk saya dikecam akan terjadi. Saya reda dengan apa saja kemungkinan.

“Hingga saat ini, saya lebih selesa membiarkan kes mereka yang masih berjalan selesai. Jujur saya berharap kes mereka di mahkamah diselesaikan secara baik. Saya amat bersyukur dan gembira kalau mereka dapat berbaik semula dan bersatu kembali demi anak.



“Saya sendiri kasihankan anak mereka. Malah di saat kes mereka terus berjalan, saya berkecil hati sebenarnya kerana terus-terusan dianggap sebagai punca kepada apa yang terjadi membabitkan mereka. Saya terus dipersalahkan. Benar, saya tak nafikan saya hadir dalam hidupnya pada waktu yang salah.

“Tapi saya tak mampu melawan kehendak takdir. Saya pernah terdetik untuk memutuskan hubungan ini tetapi dia terus mencuba untuk memiliki saya. Malah saya cuba membawa diri untuk menjauhkan diri daripadanya tetapi semakin jauh saya cuba lari, semakin kuat pula usahanya untuk memenangi hati saya,” katanya.

“Dengan apa yang cuba dia lakukan, perasaan sayang itu kian bertambah. Saya masih sayangkannya. Anaknya pun memang rapat dengan saya.”

Hmm…kalau begitulah ceritanya, mungkin kita boleh membuat kesimpulan bahawa mereka sebenarnya masih ‘bercinta’, cuma tidak digembar-gemburkan seperti sebelum ini.

Apapun, kesudahan kisah ini mungkin dapat diketahui selepas selesainya kes mahkamah melibatkan Romie dan isterinya…
 

Aidil Zafuan Mengamuk Bila Peminat Hina Isterinya Di Instagram


 
KISAH Rita Rudaini dan bekas suaminya, Aidil Zafuan sudah lama berlalu biarpun masih ada perkara yang belum diselesaikan.

Tapi, masih ada individu yang mahu mengungkit kisah tersebut biarpun Aidil telahpun mendirikan rumahtangga dengan isterinya kini, Zarema Zainal.

Akibatnya, Aidil telah mengamuk di ruangan Instagram Zarema gara-gara komen seorang wanita yang dianggap menghina isterinya itu.



Hai, sudah-sudahlah tu…

Baik Aidil mahupun Rita, masing-masing sudah bahagia dengan kehidupan kini.

Biarlah mereka menyelesaikan baki masalah yang tinggal sesama mereka.

Sebaiknya kita sebagai orang luar, doakanlah yang terbaik dan jaga rumahtangga kita sendiri, tak gitu?

Rabu, 13 Agustus 2014

Gambar Suami Jaclyn Victor

 Jaclyn Victor selamat melangsungkan perkahwinan dengan Shawn Rivera yang berasal Puerto Rico.


Penyanyi popular, Jaclyn Victor, 37, telah memperkenalkan suaminya Shawn Rivera, 40, kepada pihak media dan peminatnya di Istana Budaya malam semalam.

Mereka telah berkahwin di The First Unitarian Church of Philadelphia, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2014, disaksikan 35 orang tetamu setelah menjalinkan hubungan cinta setahun setengah.




Shawn Rivera dan Jaclyn Victor telah berkahwin di The First Unitarian Church of Philadelphia, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2014.


Shawn Rivera yang merupakan seorang penulis, produser dan ahli muzik menetap di AS buat pertama kalinya berkenalan dengan Jaclyn Victor ketika sama-sama bekerja sama dalam lagu Magical Moment terbitan KRU Studios awal tahun lalu.

Kata Jaclyn Victor dia bukan sengaja ingin merahsiakan perkahwinan itu tetapi secara peribadinya dia memang seorang yang sangat perahsia dalam soal peribadi.

Manakala Shawn pula berkata, dia sangat menyukai personaliti dan kecantikan penyanyi berkenaan serta menyedari Jaclyn Victor adalah cinta pandang pertamanya.

Sebuah resepsi kecil-kecilan untuk ahli keluarga dijangka akan diadakan pada September depan.

Tahniah buat Jaclyn Victor!

Minggu, 10 Agustus 2014

Syukur!! Adam AF & Fiza Elite Telah Rujuk Kembali



Nampaknya penceraian tidak memisahkan terus pasangan Adam AF dan Fiza Elite tetapi memberi pengajaran kepada mereka tentang nilai perkahwinan.

Mungkin selepas bertenang dan menyedari kesilapan masing-masing, Adam dan Fiza akhirnya sepakat untuk kembali rujuk pada 19 Ramadan iaitu 17 Julai lepas.

Mendirikan rumah tangga September 2013, pasangan ini pernah mengejutkan peminat apabila bercerai pada 28 April, cuma kira-kira tujuh bulan selepas bergelar suami isteri.





Adam turut kelihatan mendaftar semula rujuk perkahwinannya dengan Fiza di pejabat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Shah Alam, Selalu lalu.

Menurut pasangan ini kepada akhbar Berita Harian, mereka sudah muhasabah kesilapan masing-masing ketika berjauhan dan kini berazam untuk membaiki perkahwinan sebaik mungkin.

Bagi mengeratkan hubungan, Fiza turut menyatakan harapannya untuk mengerjakan umrah bersama Adam dan menimang cahaya mata secepat mungkin.

Lebaran lalu, Fiza dan Adam menyambutnya bersama-sama termasuk dengan pulang ke kampung Adam di Sabah.

Alhamdulillah, semoga kebahagiaan akan terus menjadi milik Adam dan Fiza.

Oleh: REM RAMZI

Jumat, 08 Agustus 2014

Noryn Aziz & Eja Dirompak Empat Lelaki Berparang





Penyanyi Noryn Aziz menceritakan detik cemas apabila menyaksikan tiga rakannya termasuk pelakon Eja Saifuddin dirompak oleh empat lelaki bersenjatakan parang.

Kejadian itu berlaku di hadapan rumahnya bertempat di Damansara Heights di sini, malam kelmarin.

Menurut Noryn, dalam kejadian itu rakan-rakannya  telah dikepung oleh beberapa lelaki yang sedang mengacukan parang kepada mereka di depan rumahnya.

“Saya sudah masuk ke dalam (rumah) apabila tiba-tiba dengar jeritan Allahuakbar. Saya sangkakan kemalangan di depan rumah.

“Saya keluar rumah dan tengok kawan-kawan dikepung beberapa lelaki sedang mengacukan parang kepada mereka.” katanya seperti yang dilapor Harian Metro.

Tambah Noryn lagi, dia sendiri telah melihat barang-barang berharga rakan-rakannya itu dirampas oleh perompak tersebut.

“Bayangkan ketika kita buat majlis, mereka (perompak) berani buat perangai. Sebaik saya masuk rumah, tiba-tiba dengar jeritan dan bila jenguk luar, beg tangan dan barang-barang kawan-kawan saya sudah dirampas.

“Memang panik dan huru-hara jadinya. Mereka (kawan-kawan) semua meluru masuk semula ke dalam dan kami kunci pintu.

“Rupa-rupanya perompak itu sempat ikut dan gegar pintu rumah. Bila dah makin kecoh, mereka semua sempat lari,” jelasnya lagi.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 malam itu, tiga orang rakan Noryn termsuk Eja sedang berbual di depan pagar rumahnya sebelum berangkat pulang dan insiden itu mengakibatkan anggaran kerugian sebayak RM30,000.

(Kredit: Harian Metro)

Gambar Kekasih Baru Tauke 'Jambu'




Apabila nama Tauke Jambu disebut, pastinya pelawak ini dikaitkan dengan gadis-gadis cantik.

Dan yang terbaru, Tauke dikatakan sedang intim dengan seorang gadis bernama Nadia, malah beberapa keping foto turut tersebar di laman sosial.

Menerusi foto tersebut jelas mempamerkan kebahagiaan Tauke dan Nadia sekaligus membuktikan pasangan ini sedang hangat bercinta.
 


Gadis bernama Nadia itu juga dikatakan seorang model sambilan.

Jika benar Tauke dan Nadia sedang bercinta, baguslah. Diharapkan hubungan ini kekal hingga ke jinjang pelamin.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria sebelum ini pernah berkahwin dan dikaitkan dengan beberapa orang wanita.

Rahsia Kecurangan Suami Beyonce Terbongkar

Rumah tangga Beyonce dan Jay-Z dilaporkan bermasalah.


SEORANG wanita yang dikenali sebagai Liv tampil dengan sebuah video bertajuk Sorry Mrs. Carter yang merujuk kepada penyanyi Beyonce cuba mendedahkan perbuatan suaminya, Jay-Z yang berlaku curang.

Daily Mail melaporkan wanita berkenaan menyindir penyanyi tersebut selain cuba membuka aib Jay-Z secara terbuka dalam video berkenaan.

Jay-Z pernah mengajak saya tidur dengannya tetapi saya tolak kerana menghormati kamu (Beyonce).

Tetapi kamu perlu tahu bahawa dia pernah meniduri Rita Ora untuk melonjakkan karier nyanyiannya," katanya dalam pesanan video berkenaan.

Pergolakan rumah tangga pasangan itu bukan lagi rahsia apabila mereka dilaporkan memilih untuk tinggal di hotel berasingan dalam siri konsert jelajah On The Run yang melibatkan mereka.

Bagaimanapun pasangan berkenaan berkelakuan mesra di atas pentas bagi menutup gosip yang sedang bertebaran tentang rumah tangga mereka.

Kejadian Jay-Z dibelasah oleh adik Beyonce iaitu Solange baru-baru ini turut dikaitkan dengan sikap abang iparnya yang curang terhadap kakaknya.

Bagaimanapun sehingga saat ini kedua-dua selebriti terkenal itu belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Kamis, 07 Agustus 2014

Johan As’ari Dikecam Kerana Persoal Kewajaran Boikot McD

Johan As’ari


Setuju atau tidak bahawa perkataan ‘boikot’ merupakan perkataan paling popular di laman sosial sejak akhir-akhir ini. Kempen yang dilakukan demi mengecam tindakan Israel terhadap rakyat Palestin itu termasuklah untuk memboikot makanan segara, McDonalds (McD).

Malah, Wardina Safiya juga telah menyeru semua artis untuk menamatkan kontrak bersama sebarang jenama yang menyokong Israel. Namun, lain pula ceritanya dengan Johan As’ari.

Menerusi laman Instagramnya, pelakon muda itu dilihat telah memuat naik sekeping foto seakan-akan mempersoalkan kewajaran rakyat Malaysia untuk memboikot McD.

  


Bagaimanapun, pendapat peribadi yang diutarakan itu telah mengundang perdebatan di kalangan followers Instagram Johan sendiri. Ada yang dilihat tidak menyenangi buah fikiran Johan As’ari dan menganggap bahawa pelakon itu bersikap tidak sensitif terhadap kemelut yang melanda Israel-Palestin.



Antara komen followers yang tidak bersetuju dengan pendapat Johan As’ari.


Hurm..bagaimana dengan pendapat anda semua pula? Setuju atau tidak dengan kata-kata Johan? Apapun, yang penting kita sama-sama mendoakan agar krisis itu bakal berakhir tidak lama lagi.

Pernikahan Jue Aziz Dan Bayu Sah Mengikut Hukum Syarak

Jue Aziz dan suaminya, Bayu Pramana Putra Achmal

 

Pelakon Jue Aziz berhasrat untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bersama suaminya, Bayu Pramana Putra Achmal pada awal tahun hadapan.

Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abd Aziz, 31, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia masih belum mempunyai tarikh tertentu bagi melaksanakan hasrat berkenaan.

"Alhamdulillah selepas urusan pernikahan saya dengan suami selesai di mahkamah, diharap selepas ini tidak lagi dijadikan isu seperti mana sebelum ini.

"Insya-Allah kami bercadang untuk mengadakan majlis resepsi bagi memperkenalkan suami kepada keluarga dan kenalan rapat pada tahun hadapan," seperti yang dilaporkan mStar online.

Jue berkata demikian selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam memutuskan pernikahannya dengan lelaki warganegara Indonesia itu sah dan mengikut hukum syarak,

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga di kampung halaman Bayu, 28, di Makassar, Indonesia pada 9 Mac lalu.

Dalam pada itu, Jue berkata, dia seboleh-bolehnya mahu mempercepatkan tarikh bagi mengadakan majlis berkenaan namun kesibukan mereka terhadap kerjaya seni masing-masing membuatkan perancangan itu terpaksa ditunda pada tahun hadapan.

Jelas Jue, dia juga mahu mengadakan acara itu bagi memenuhi impian ibu dan bapanya yang ingin melihat dia bersanding di kampung halaman ibunya di Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Jue berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan tersebut daripada pengetahuan umum cuma tidak dihebahkan kerana tidak mahu publisiti meluas tentang perkara itu.

Jelas Jue lagi, selepas mendirikan rumah tangga dia tidak pernah menafikan statusnya jika ada pihak yang bertanya malah perkahwinan itu turut mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

Pelakon Sheera Iskandar Sudah Bertudung


 SHEERA Iskandar turut mengambil keberkatan Ramadan lalu untuk berhijab



KUALA LUMPUR: Selain Neelofa, Umie Aida, Ana Dahlia, Nas Adila serta bekas personaliti TV3, Haizi Rani dan penyampai radio ERA FM, Ira Mohd Amin, anak kepada pelakon lama, Aznah Hamid iaitu Sheera Iskandar turut mengambil keberkatan Ramadan lalu untuk berhijab.

Di laman Instagram, pelakon berusia 29 tahun itu juga tak menyembunyikan hakikat imej barunya itu. Cuma ketika dihubunginya petang tadi, beliau agak segan untuk berkongsi mengenai penghijrahannya itu.


Sheera Iskandar bersama ibunya, Aznah Hamid.



“Ia tuntutan wajib bagi saya. Semoga Tuhan terus tetapkan hati saya untuk berubah ke arah yang lebih baik. Saya mohon sentiasa dipermudahkan semua ini. Saya buat benda ini bukan sebab kerana orang lain tetapi atas kerelaan diri sendiri. Sebelum ini pun saya banyak berlakon cerita mengenakan tudung,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Sheera masih terus menerima lakonan. Malahan biarpun sudah bertudung, tawaran yang datang tetap seperti biasa. Cuma hingga saat ini, ramai yang melihat popularitinya masih pada tahap biasa. Sheera mula berlakon sejak usia empat tahun lagi.

“Terpulang kalau ada yang cakap saya tak menyerlah tetapi saya tetap bersyukur kerana rezeki itu masih menyebelahi diri. Saya masih ada peminat yang menyapa kalau keluar di khalayak ramai. Ada yang kenal saya. Macam baru-baru ini impak drama Walau Sedetik Cuma yang sudah habis siarannya di TV Al Hijrah cukup mengesankan.

“Drama itu terbitan Zeel Production milik Fadzil Teh. Saya bergandingan dengan Zul Ariffin. Saya bertudung dalam cerita berkenaan dan Alhamdulillah ramai yang memuji karakter yang saya bawakan,” katanya.
Sheera sempat ditanyakan mengenai kisah peribadinya. Beberapa episod cintanya turut berakhir tanpa penamat yang indah.

“Buat masa sekarang saya masih solo. Tak dinafikan di usia sekarang, pada suatu ketika, timbul tekanan bila lagi nak menamatkan zaman bujang. Tapi apabila sudah lama, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin belum sampai waktunya untuk saya menamatkan zaman solo. Nak kahwin ini pun kita berharap ia berpanjangan. Kahwin bukan untuk sehari dua,” katanya.

Oleh Zaidi Mohamad

Selasa, 05 Agustus 2014

Gambar Julia Perez Berpelukan Dengan Anjing Jadi Kontroversi

 

Beberapa foto ini telah menjadi bukti tindakan Jupe yang seolah-olah seperti sudah lupa tentang soal halal dan haram di dalam agama.


Pelakon kontroversi Indonesia, Julia Perez memang tidak pernah lekang dengan isu panas yang disering menjadi perhatian umum negara Republik itu.

Terbaru Julia atau nama panggilannya Jupe mengundang reaksi negatif daripada peminat dan juga pengikut di laman Instagram miliknya gara-gara gambar bersama anjing. Malah dia dilihat memberikan aksi kurang menyenangkan apabila telah bergomol dengan anjing berkenaan tanpa batasan.





Beberapa foto ini telah menjadi bukti tindakan Jupe yang seolah-olah seperti sudah lupa tentang soal halal dan haram di dalam agama. Sudahlah membela anjing sebagai binatang peliharannya adalah haram (kecuali untuk buruan dan menjaga keselamatan),  bergomol dengan anjing berkenaan juga apatah lagi.

Dan seperti yang dijangka foto-foto Jupe ini sememangnya menyakitkan mata yang memandang ini telah  mengundang kemarahan peminat Muslim yang mengetahui bahawa dia adalah selebriti Muslim dan tindakannya itu seolah-olah seperti menghina agamanya sendiri.

Sekalipun dikritik, Jupe bagaimanapun tetap mempertahankan tindakannya dengan memberikan jawapan  bahawa apa yang dilakukannya itu adalah atas dasar rasa kemanusiaan dan kasih sayang terhadap binatang, namun hukum-hukum agama telah diketepikan dengan sewenang-wenangnya.







Antara kapsyen foto di Instagram miliknya itu adalah “Cinta itu adalah tangung jawab  .. #xenamybaby #forbiddenactress #doglover #loveanimal” dan “Anjing itu setia.. Manusia aja yg kadang berhianati #doglover #xenamybaby.

“Selain itu dia turut membalas komen daripada peminat yang mempersoalkan tindakannya itu, antara yang dibalas Jupe “@salmayanti19 jangan tiru apa yg tidak bagus disaya... Maff tapi buat saya tidak ada di bumi ini yg tidak di sayang allah.. Xena anjing penjaga yg baik.. Setia dan pintar.. Saya tidak baik mbak jangan di tiru adegan ini... Ini adegan saya lagi menyayangi binatang nanty saya kasih adegan yg mbak suka.. saya akan berusaha buat kalian semua bahagia. Dengan porsi saya, Julia Perez,”

Bagi pembaca yang tidak mengetahui asal usul pelakon yang dulu pernah bergaduh dengan Dewi Persik ini, Julia Perez adalah wanita yang dilahirkan sebagai seorang Muslim.

Jupe bermula sebagai model setelah mengenali Damien Perez (Yusuf Perez) yang kemudian menjadi suaminya dan sempat diambil untuk menjadi model bagi majalah FHM dan Maxim ketika di Perancis. Dek kerana ini juga, Jupe dicalonkan 100 perempuan terseksi versi majalah FHM dan Maxim di negara itu.

Ramona Zamzam Nafi Jadi Punca Pembatalan Majlis Perkahwinan Dazrin dan Amyra

  
Ramona Zamzam sudah jangka akan dituduh sebagai orang ketiga dalam hubungan Dazrin dan Amyra.



PETALING JAYA: Pelakon Ramona Zamzam menjelaskan hubungannya dengan pelakon Dazrin Kamaruddin renggang selepas kontroversi gambar mesra mereka yang dimuat naik di laman Instagram dicerca peminat.

Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 24, berkata, disebabkan perkara itu, dia langsung tidak berhubung dan bertegur sapa dengan Dazrin kerana begitu marah dengan cercaan itu.

"Saya terkejut mendengar berita tentang Dazrin dan tunangnya Amyra Rosli membatalkan perkahwinan mereka dan saya sudah menjangkakan akan menjadi mangsa dituduh sebagai pihak ketiga kerana saya orang terakhir yang digosipkan dengan dia.

"Saya tidak takut berhadapan dengan media kerana saya tidak bersalah dalam hal ini, selepas gambar kami menjadi isu saya sangat marah dan tidak berhubung langsung dengan Dazrin hingga hari ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.


Dazrin dan Amyra membatalkan perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 8 Ogos ini. 

Ramona berkata demikian ketika diminta mengulas apabila namanya dikaitkan sebagai punca pembatalan majlis perkahwinan pelakon Dazrin dan Amyra Rosli yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini.

Pada dua minggu lalu, gambar Ramona dengan Dazrin di lokasi penggambaran telefilem Bingkai Kaca, menjadi kontroversi apabila Ramona dikatakan mengganggu hubungan pasangan berkenaan. 



















Gambar yang menjadi punca kontroversi ini telah dipadam daripada akaun Instagram Ramona selepas dihentam oleh peminat. 
  

Tambah Ramona, dia tidak pernah beniat untuk mengganggu hubungan tersebut malah sudah mengenali Dazrin sejak beberapa tahun sebelum dia mengikat tali pertunangan dengan Amyra lagi.

Jelasnya, gambar tersebut juga bukanlah aksi yang keterlaluan sebaliknya gambar ketika di lokasi penggambaran yang mana ketika itu Dazrin datang membawa shisha.

"Saya dan Dazrin sudah kenal lama sejak saya masuk dalam industri lagi malah kami sering kali digandingkan untuk berlakon bersama sebagai pasangan kekasih.

"Kalau benar-benar saya ingin menganggu hubungan mereka ia pasti sudah lama berlaku, apa yang saya marah apabila peminat Amyra menghentam saya di Instagram dengan pelbagai kata-kata kesat sehingga saya terpaksa padamkan gambar tersebut agar ia tidak berpanjangan," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada dia ada berhubung dengan Amyra selepas kejadian itu, Ramona berkata, dia tidak mengenali wanita itu secara dekat dan mereka tidak pernah berhubung.

Jelasnya, biarpun sering dihentam oleh segelintir peminat Amyra di laman sosial, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan wanita itu.

Lepas gambar tu keluar Amyra senyap sahaja, dia tidak pula hubungi saya untuk minta penjelasan jika dia tidak puas hati tentang gambar berkenaan," katanya.

Oleh: KEMALIA OTHMAN